Mula-mula salahkan PMX, sekali MoF keluar angka, KKDW pula tampil pertahan Zahid

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyangkal dakwaan Kementerian Kewangan (MoF) kononnya kementerian itu berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan bagi projek pembangunan, khususnya pembinaan jalan luar bandar.

Setiausaha Akhbar Menteri KKDW, Fadzmel Fadzil berkata, kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) berhubung perkara tersebut tidak tepat, serta tidak menggambarkan situasi kewangan sebenar.

Menurutnya, Tatacara Kewangan Kerajaan serta sistem perakaunan Integrated Government Financial Management Accounting System (iGFMAS) secara teknikalnya tidak membenarkan mana-mana kementerian membuat perbelanjaan melangkaui had yang diluluskan.

“Tatacara Kewangan Kerajaan tidak sesekali membenarkan dan kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya membuat perbelanjaan melebihi peruntukan yang telah diluluskan.

“Setiap permohonan peruntukan dibentangkan kepada Kementerian Kewangan dan setiap perbelanjaan tertakluk kepada sistem kewangan Kerajaan yang mengguna pakai iGFMAS. Malah, setiap projek atau program pembangunan mesti mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi.

“Justeru, penggunaan istilah ‘berbelanja melebihi peruntukan’ memberi gambaran yang tidak tepat terhadap apa yang sebenarnya berlaku,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tiada sekatan

Semalam, MoF menegaskan bahawa tiada sebarang sekatan ke atas peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, berkata seluruh peruntukan yang diperuntukkan bagi KKDW sudah disalurkan sepenuhnya dan kekangan proses pembayaran kontraktor ketika ini disebabkan dana berkenaan sudah dibelanjakan sepenuhnya.

Beliau berkata, MoF malah sudah meluluskan peruntukan tambahan RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.

​”Kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berbangkit disebabkan peruntukan tahun semasa telah pun dibelanjakan hampir sepenuhnya.

​”Sejak beberapa tahun lalu, KKDW membuat komitmen dan berbelanja lebih daripada peruntukan tahunan yang diluluskan untuk projek-projek jalan luar bandar,” katanya dalam kenyataan.

Johan berkata, selain peruntukan tambahan pihaknya juga sedang bekerjasama dengan KKDW bagi mencari penyelesaian isu ini termasuk mengatur semula peruntukan kementerian itu berdasarkan keutamaan.

Jelasnya, MoF juga dalam proses mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain yang boleh dilaksanakan bagi membantu menampung keterlebihan komitmen oleh KKDW.

Penjelasan MoF itu susulan rasa tidak puas hati Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan di bawah KKDW sehingga menjejaskan kelangsungan operasi mereka.

Zahid berkata, masih ada sebilangan kontraktor yang sudah melaksanakan kerja di bawah KKDW dan mencapai kemajuan ditetapkan mengikut kontrak pembangunan, termasuk projek Jalan Luar Bandar (JALB), berdepan kelewatan bayaran daripada kerajaan.

BACA JUGA Tak tunggu lama, PM Anwar setuju tukar pembekal Baja 3 pesawah MADA