Bawa ke kabinet, bukan mikrofon media – Akmal disindir isu KKDW

Pertikaian mengenai peruntukan dan perbelanjaan projek jalan luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) semakin hangat apabila seorang penulis menyarankan isu berkenaan dibawa ke meja Kabinet, bukannya diperdebatkan melalui media.

Gesaan itu dibuat Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin dalam satu hantaran yang mengkritik penjelasan Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh, berhubung isu perbelanjaan KKDW dan responsnya terhadap kenyataan Kamil Munim.

Danish mendakwa perbandingan yang dibuat Akmal antara perbelanjaan KKDW dan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi 2024 tidak menggambarkan perbezaan kadar lebihan perbelanjaan kedua-dua kementerian.

Menurutnya, Akmal betul apabila menyatakan KPM diperuntukkan RM58.726 bilion pada 2024 tetapi membelanjakan RM59.871 bilion.

Namun, katanya, jumlah itu hanya melebihi peruntukan sekitar 1.95 peratus.

Sebaliknya, Danish merujuk angka yang didakwanya dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) bagi menunjukkan perbelanjaan KKDW melebihi peruntukan pada kadar yang jauh lebih tinggi.

“Pada 2023, KKDW diperuntukkan RM1.1 bilion tetapi membelanjakan RM1.8 bilion.

“Pada 2024, diperuntukkan RM1.3 bilion tetapi dibelanjakan RM2.0 bilion.

“Pada 2025 pula, diperuntukkan RM1.6 bilion tetapi dibelanjakan RM2.3 bilion,” katanya.

Danish berkata perbandingan itu menunjukkan terdapat perbezaan besar antara lebihan perbelanjaan KPM dengan KKDW dan justeru kedua-duanya tidak wajar disamakan begitu sahaja.

Beliau turut membangkitkan kedudukan perbelanjaan KKDW bagi projek jalan luar bandar pada tahun ini.

Menurutnya, sehingga Jun 2026, KKDW telah membelanjakan RM1.9 bilion daripada RM2.1 bilion yang diperuntukkan bagi projek berkenaan.

“Maknanya, baru separuh tahun, lebih 90 peratus peruntukan setahun sudah digunakan.

“Sebab itu apabila Kamil Munim respons, jangan cepat melenting. Soalannya mudah.

“Kalau baru separuh tahun hampir seluruh peruntukan sudah digunakan, bagaimana perbelanjaan ini dirancang?” katanya.

Danish turut mempersoalkan naratif bahawa masalah pembayaran kepada kontraktor berpunca daripada Kementerian Kewangan yang gagal menyalurkan peruntukan kepada KKDW.

Beliau berkata MOF telah menjelaskan bahawa tiada sekatan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar dan peruntukan tersebut telah disalurkan sepenuhnya.

Menurutnya, kekangan pembayaran kepada kontraktor berlaku kerana peruntukan tahun semasa telah dibelanjakan hampir sepenuhnya.

Beliau turut mendakwa MOF telah meluluskan tambahan RM300 juta bagi 2026 bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.

Dalam pada itu, Danish berkata sekiranya masih terdapat projek yang telah diluluskan tetapi berdepan masalah peruntukan atau pembayaran, perkara itu boleh dibawa melalui saluran pentadbiran kerajaan.

“Presiden Umno ialah Timbalan Perdana Menteri dan duduk dalam Jemaah Menteri.

“Bawa senarai projek itu ke mesyuarat Kabinet.

“Tunjukkan projek mana, berapa nilainya, bila diluluskan, berapa yang sudah dibelanjakan dan berapa lagi diperlukan.

“Bincang dan selesaikan,” katanya.

Beliau berkata Kabinet sepatutnya menjadi ruang untuk anggota kerajaan mencari penyelesaian terhadap masalah pentadbiran, bukannya media dijadikan medan rundingan antara anggota kerajaan.

“Kabinet itu tempat kerajaan mencari penyelesaian. Media bukan meja rundingan antara anggota kerajaan.

“Kalau masalah itu berada dalam kerajaan dan Presiden sendiri duduk dalam Kabinet, meja pertama untuk mengetuk ialah meja Kabinet, bukan mikrofon media,” katanya.

Danish turut menyindir Akmal berhubung kritikannya terhadap Kamil serta kenyataan berkaitan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Dan sebelum sibuk mahu menukar PMX menjadi XPM, mungkin Akmal patut pastikan dahulu hujah sendiri tidak bertukar daripada ‘fakta’ menjadi ‘auta’,” katanya.

Menurut Danish, Kamil hanya menjalankan tugasnya dengan mempertahankan prinsip akauntabiliti dalam isu tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa perbandingan antara KPM dan KKDW perlu dibuat berdasarkan angka secara menyeluruh, bukan sekadar mengambil satu contoh.

“Kalau mahu beri kuliah tentang kewangan kerajaan, silakan. Tetapi sebelum mengajar orang lain, tengok angka sampai habis,” katanya.

Danish mengakhiri hantaran itu dengan sindiran terhadap hujah Akmal.

“Kalau angka sejauh ini pun mahu disamakan, masalahnya mungkin bukan pada Kamil yang bertanya.

“Mungkin kalkulator Akmal yang perlukan bateri baharu,” katanya.

BACA JUGA Nak tahu OPR kekal atau berubah? Bursa dah beri petunjuk awal