Jangan separuh jalan, generasi FELDA mahu audit forensik bongkar ke akar umbi
Usaha membersihkan FELDA menerusi audit forensik perlu dilakukan secara menyeluruh dan tidak terhad kepada kes atau isu tertentu jika mahu benar-benar memulihkan keyakinan peneroka terhadap institusi berkenaan.
Generasi kedua dan ketiga FELDA, Ridhuan Esa, berkata audit berkenaan perlu meneliti keseluruhan rantaian pentadbiran FELDA, bermula daripada peringkat rancangan dan wilayah sehingga ke ibu pejabat.
Menurutnya, peneroka dan generasi FELDA menyambut baik pendirian rasmi FELDA untuk memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk saranan supaya pasukan audit forensik dilantik.
Katanya, langkah tersebut selari dengan usaha memperkukuh integriti serta mekanisme semak dan imbang dalam FELDA.
“Demi memastikan kelangsungan industri sawit dan pembelaan sebenar terhadap komuniti ladang, siasatan ini tidak boleh dilakukan secara separuh jalan.
“Pasukan audit forensik yang dilantik wajib melaksanakan semakan komprehensif yang mencakupi rantaian penuh pentadbiran, bermula seawal peringkat Rancangan, Wilayah, sehinggalah ke Ibu Pejabat,” katanya.
Ridhuan berkata skop audit juga perlu meliputi ketelusan pengurusan ladang, ketepatan penyata kewangan peneroka dan struktur kos operasi.
Menurutnya, semakan tersebut penting bagi mengesan sebarang perbelanjaan yang tidak cekap atau ketirisan yang boleh memberi kesan kepada prestasi FELDA serta kepentingan peneroka.
Beliau turut mahu keberhasilan projek ekonomi dinilai semula, khususnya Program Pembangunan Peneroka (PPP) dan pelbagai inisiatif pembangunan komuniti.
Katanya, audit forensik tidak sepatutnya hanya menjadi proses memeriksa dokumen, sebaliknya perlu menentukan sama ada program dan perbelanjaan yang dilaksanakan benar-benar mencapai matlamat ditetapkan.
Sokong usaha kerajaan bersihkan institusi
Dalam pada itu, Ridhuan berkata inisiatif pembersihan FELDA turut dilihat sebagai sokongan terhadap ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membanteras ketirisan dan membetulkan kelemahan tata kelola agensi kerajaan.
Menurutnya, usaha itu juga selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar siasatan dilakukan secara berintegriti dan tanpa kompromi.
“Lebih utama, langkah ini juga menjunjung penuh titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahukan siasatan berintegriti, bebas kompromi, dan pembersihan institusi dilaksanakan secara ketat demi membela nasib rakyat,” katanya.
Ridhuan berkata segala kelemahan tadbir urus yang dikenal pasti perlu diselesaikan dari akar umbi dan tidak berhenti setakat mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Katanya, penglibatan agensi penguatkuasaan tambahan seperti yang disarankan SPRM juga perlu dipertimbangkan bagi memastikan proses pematuhan dilakukan secara telus dan adil.
“Tindakan pematuhan silang yang telus, adil, dan berteraskan piawaian teknikal mahupun perundangan adalah satu-satunya jalan untuk memulihkan kelestarian institusi FELDA,” katanya.
BACA JUGA Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Dasuki untuk tauliah mengajar di Selangor