KKDW belanja lebih daripada bajet? Orang Zahid kata mustahil, orang Anwar minta semak fakta

Pertikaian mengenai peruntukan projek jalan luar bandar antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Perbendaharaan kini memasuki fasa baharu apabila seorang pegawai kanan Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta pihak yang mempertikaikan penjelasan kerajaan supaya menyemak semula fakta.

Teguran itu dibuat Setiausaha Akhbar Kanan Anwar, Tunku Nashrul Abaidah, terhadap Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Zahid Hamidi, Fadzmel Fadzil.

Fadzmel sebelum ini mempersoalkan kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican berhubung dakwaan KKDW telah membelanjakan hampir keseluruhan peruntukan projek jalan luar bandar bagi tahun ini.

Tunku Nashrul berkata, kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan tidak wajar dianggap dibuat secara sembarangan, terutama apabila ia menyentuh pengurusan kewangan negara.

“Saya yakin kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan tidak dibuat secara semborono.

“Saya kenal Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebagai penjawat awam kanan yang teliti dan cekap. Dalam urusan kewangan negara, sudah tentu beliau lebih arif,” katanya dalam satu kenyataan.

Pertikaian itu tercetus selepas Zahid mendakwa pembayaran kepada kontraktor yang menjalankan projek pembangunan luar bandar mengalami kelewatan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sebahagian kontraktor berdepan masalah aliran tunai sehingga ada yang terpaksa menutup operasi.

Zahid turut mendakwa terdapat kontraktor di bawah KKDW yang masih menunggu pembayaran walaupun kerja telah disiapkan dan projek mencapai tahap kemajuan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, penjelasan berbeza diberikan oleh Perbendaharaan.

Johan berkata kelewatan pembayaran berpunca daripada KKDW yang telah membelanjakan hampir keseluruhan peruntukan yang diperuntukkan bagi projek jalan luar bandar untuk tahun ini.

Malah, beliau mendakwa kementerian berkenaan secara konsisten membelanjakan lebih daripada peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar sejak 2023.

Dakwaan itu bagaimanapun dipersoalkan Fadzmel.

Menurutnya, adalah mustahil bagi kementerian membelanjakan lebih daripada jumlah peruntukan tahunan yang telah diluluskan kerana setiap permohonan dana perlu dikemukakan kepada Perbendaharaan.

Beliau turut menegaskan bahawa perbelanjaan kerajaan diproses menerusi sistem pengurusan kewangan kerajaan Putrajaya.

Pertikaian itu kini memperlihatkan perbezaan penjelasan antara pihak KKDW dan Perbendaharaan mengenai punca sebenar kelewatan pembayaran kepada kontraktor.

Ia juga menimbulkan persoalan mengenai bagaimana peruntukan projek jalan luar bandar diluluskan, disalurkan dan dibelanjakan sepanjang tempoh berkenaan.

BACA JUGA SPRM buka semula fail lama, VIP mungkin dipanggil satu demi satu