Tak ada peluang untuk parti lain, Pas ‘target’ nak isi kerusi Perdana Menteri

Pas dilihat semakin jelas meletakkan sasaran untuk menerajui kerajaan Persekutuan apabila perwakilan Pemudanya menggesa supaya parti itu tidak lagi memberi laluan kepada parti lain untuk mengisi jawatan Perdana Menteri.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Ilyas Ahmad berkata, usaha menyatukan umat Islam di peringkat Persekutuan perlu dipimpin Pas, malah parti itu mempunyai calon yang mencukupi dan berkelayakan untuk memimpin Putrajaya.

Beliau berkata, Pas tidak seharusnya lagi mengambil pendirian untuk memberi laluan kepada parti lain menjadi Perdana Menteri.

“Kita tidak mahu lagi dengar kata-kata seperti ‘tak apa, biarlah orang lain jadi perdana menteri’. Kita tidak mahu dengar lagi perkara itu! Kali ini, kita mahu pastikan Pas menjadi peneraju utama di peringkat Persekutuan,” katanya dalam Muktamar Pas di Kota Bharu, hari ini.