RM2.1 bilion jadi persoalan, Guan Eng mahu Zahid jawab isu perbelanjaan KKDW

Penasihat DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang melebihi peruntukan diluluskan sebanyak RM2.1 bilion bagi tempoh tiga tahun dari 2023 hingga 2025.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan KKDW harus dikenakan tindakan kerana membenarkan perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan bagi mengelakkan kementerian lain mengulangi perkara sama.

Beliau menegaskan tindakan sedemikian boleh memudaratkan khazanah serta kestabilan kewangan negara selain melanggar prosedur dan tatacara kewangan sedia ada.

Guan Eng berkata, keadaan kewangan negara boleh terjejas sekiranya semua kementerian bertindak dengan membelanjakan wang tanpa mengambil kira sama ada negara mampu menanggungnya atau tidak.

Beliau turut membangkitkan isu surat sokongan oleh kementerian selain Kementerian Kewangan yang menurutnya telah diharamkan kerana boleh dianggap sebagai surat jaminan kerajaan tersembunyi.

Katanya, dalam perundangan kewangan negara, hanya Kementerian Kewangan dibenarkan mengeluarkan surat sokongan atau jaminan.

Untuk rekod, pada 1 September lalu, Ahmad Zahid membangkitkan isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan.

Zahid yang juga Presiden Umno mendakwa terdapat kontraktor yang telah melaksanakan projek dan mencapai kemajuan seperti ditetapkan, namun berdepan kelewatan menerima bayaran.

Namun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican dalam kenyataan pada 2 September berkata, KKDW sejak tahun 2023 telah membuat komitmen serta berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar.

KKDW kemudian menyangkal pula kenyataan Johan itu dan menegaskan kementerian berkenaan tidak berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan bagi projek pembangunan, khususnya pembinaan jalan luar bandar.

Kontrak KKDW

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan berkenaan turut mempersoalkan kontraktor yang menerima manfaat daripada kontrak KKDW sehingga menyebabkan perbelanjaan didakwa melebihi peruntukan diluluskan.

“Adakah kontraktor-kontraktor tersebut dipilih mengikut peraturan atau kaedah pemberian kontrak dijalankan secara telus, terbuka dan akauntable?” soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan perbelanjaan KKDW pada 2023 berjumlah RM1.8 bilion berbanding peruntukan RM1.1 bilion, manakala pada 2024 sebanyak RM2 bilion berbanding peruntukan RM1.3 bilion.

Menurutnya, pada 2025 pula perbelanjaan KKDW direkodkan sebanyak RM2.3 bilion berbanding peruntukan RM1.6 bilion.

“Perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM2.1 bilion untuk tiga tahun tempoh 2023-25 semasa KKDW di bawah Ahmad Zahid Hamidi.

“RM2.1 bilion bukanlah satu jumlah kecil sedangkan ia tidak menjadi masalah untuk tahun-tahun sebelum 2023,” katanya.

Guan Eng berkata, sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid sepatutnya menunjukkan contoh seorang pemimpin yang berjimat cermat dan berhemah.

Beliau turut mendakwa Ahmad Zahid membenarkan perbelanjaan melebihi peruntukan diluluskan tanpa usul periksa dan perlu memberikan penjelasan penuh kepada rakyat Malaysia.

BACA JUGA BN mahu PRU16 awal, Anwar pilih urus rakyat dan bersihkan rasuah dulu