ABIM gesa KP Pas Kedah tarik balik ayat mahu terus tunggang agama
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mendesak Ketua Pemuda Pas Kedah, Ilyas Ahmad menarik balik ungkapan “menunggang agama” serta bahasa kasar dalam kenyataannya.
Timbalan Presidennya, Muhamad Saifuddin Abdul Latiff berkata, sekalipun dimaksudkan sebagai sindiran terhadap pengkritik, ungkapan tersebut mengaburkan perbezaan antara perjuangan berpandukan Islam dengan perbuatan memperalatkan agama.
Jelas beliau, sindiran tidak menggugurkan tanggungjawab pemimpin untuk menjaga adab dan menjawab kritikan dengan hujah.
“Agama Islam dijunjung dan dijadikan panduan, bukan ditunggang untuk kepentingan politik.
“Setiap pemimpin dan parti wajib menundukkan tindakan mereka kepada tuntutan kebenaran, keadilan dan amanah. Agama tidak boleh dijadikan pembenaran bagi setiap tindakan sendiri,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Muhamad Saifuddin berkata, pemimpin yang membawa nama Islam perlu menunjukkan keselarasan antara seruan dengan akhlak yang ditampilkan.
Justeru katanya, bahasa kasar menjejaskan kewibawaan mesej yang dibawa dan memberikan teladan yang tidak baik kepada masyarakat, khususnya generasi muda.