Kreativiti, inovasi angkat Sarawak juara Pavilion Negeri Terbaik MAHA 2026

FOTO BERITA: Majlis Penyampaian Anugerah Pavillion Negeri Terbaik disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Pentas Utama, Dewan A MAEPS Serdang, Selangor. 5hb September 2026 (Sabtu)

Pavilion Negeri Sarawak dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Pavilion Negeri Terbaik MAHA 2026 selepas mengungguli penilaian keseluruhan yang melibatkan aspek kreativiti, produk, aktiviti, inovasi, penyampaian serta tarikan kepada pengunjung.

Majlis Penyampaian Anugerah Pavilion Negeri Terbaik itu disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Pentas Utama, Dewan A, MAEPS Serdang, hari ini.

Sarawak membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta sijil penghargaan selepas keputusan akhir disahkan oleh barisan juri profesional.

Tempat kedua dimenangi Pavilion Negeri Perak yang menerima hadiah wang tunai RM8,000 dan sijil penghargaan, manakala Pavilion Negeri Kedah meraih tempat ketiga dengan hadiah RM5,000 berserta sijil.

Penilaian pertandingan dibuat secara menyeluruh oleh Jawatankuasa Teknikal berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan termasuk reka bentuk luaran dan dalaman pavilion, produk dan aktiviti, kaedah penyampaian, inovasi, peranan petugas serta elemen ‘wow factor’.

Sepanjang lapan hari penganjuran MAHA 2026, pavilion negeri turut menjadi antara tarikan utama dengan menampilkan kekuatan, identiti dan keunikan sektor pertanian serta agrobisnes di setiap negeri.

Dalam majlis sama, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut menerima satu lagi pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi binaan tongkol jagung bijian tertinggi yang dibangunkan Jabatan Pertanian dengan kerjasama Kelab Tani KPKM.

Binaan menara jagung setinggi enam meter di Laman Floriculture Majika Garden itu dihiasi menggunakan kira-kira 20,000 tongkol jagung dan secara rasmi diiktiraf sebagai binaan tongkol jagung bijian tertinggi.

Pengiktirafan berkenaan turut menjadi simbolik kepada potensi tanaman jagung dalam memperkukuh rantaian bekalan makanan serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara.