LKIM mahu anak nelayan ceburi TVET, elak bidang perikanan dikuasai pekerja asing

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) komited mahu melahirkan lebih ramai belia, khususnya anak nelayan yang mempunyai kemahiran dalam bidang marin bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) bagi mentransformasi pembangunan modal insan dalam sektor perikanan.

Menurutnya, LKIM mengambil langkah pertama menerusi kerjasama strategik selama tiga tahun bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis melalui kaedah Akademi Dalam Industri (ADI) Perantisan.

Program itu bakal memberi tumpuan kepada kemahiran marin seperti pembaikan bot atau vesel serta peralatan penangkapan ikan yang semakin kurang dimiliki warga tempatan.

“Dahulu kita terpaksa mengambil pekerja luar seperti daripada Thailand untuk membuat kerja pembaikan. Jadi sekarang kita melihat kepada anak-anak nelayan pun semakin ramai, pekerjaan pun semakin mencabar.

“Jadi kita nak pandu mereka kepada TVET tapi bidang yang spesifik dalam komuniti mereka iaitu bidang perikanan juga,” katanya selepas Majlis Memeterai Kerjasama Strategik bagi Pelaksanaan Program TVET LKIM sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Program berkenaan akan mengamalkan konsep ‘train and place’ yang menggabungkan 20 hingga 30 peratus latihan teori di IKBN Kuala Perlis, manakala 70 hingga 80 peratus latihan amali praktikal dilaksanakan di lapangan.

Bagi projek rintis itu, Slipway Kuantan yang dikendalikan oleh PERNEPA Engineering and Maritime Services (PEMS) Sdn. Bhd. dipilih sebagai lokasi latihan amali bagi memenuhi keperluan industri penyelenggaraan marin tempatan.

Fasa permulaan projek rintis yang dijadualkan bermula November ini akan memberi keutamaan kepada pengambilan 12 belia dan anak nelayan berdaftar dari zon utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Para pelajar bakal menjalani latihan selama 15 bulan bagi memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3 dalam bidang Servis dan Penyelenggaraan Mekanikal serta Perpaipan Marin.

Muhammad Faiz berkata, anak-anak nelayan yang berminat tidak seharusnya melepaskan peluang yang disediakan.

“Dan bila dapat peluang ini, belajarlah betul-betul sebab ada sijil dan pentauliahan, dan dengan itu mereka dapat menyumbang semula kepada komuniti nelayan itu sendiri, kepada bidang perikanan.

“Kita tidak mahu untuk masa depan nanti, bidang-bidang dalam perikanan ini dikuasai oleh pekerja asing. Kita nak biarlah kekayaan negara kita ini dikuasai oleh anak-anak tempatan,” katanya.