Tak semua anak nelayan mahu ke laut, LKIM buka laluan kerjaya menerusi TVET

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Memeterai Kerjasama Strategik bagi pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) LKIM oleh Tuan Hj Muhammad Faiz Fadzil Pengerusi LKIM di Dewan A, MAEPS Serdang Selangor. 4hb September 2026 (Jumaat)

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperluaskan usaha meningkatkan sosioekonomi komuniti nelayan menerusi pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memberi fokus kepada kemahiran berkaitan industri perikanan dan perkapalan.

“Tak semua anak nelayan akan minat ke laut. Ada juga anak-anak mereka yang mungkin minat dengan vokasional, iaitu bidang kemahiran,” katanya ketika merasmikan Majlis Memeterai Kerjasama Strategik bagi Pelaksanaan Program TVET LKIM

Muhammad Faiz berkata, LKIM mahu komuniti nelayan bukan sahaja terlibat dalam aktiviti menangkap ikan, malah menguasai keseluruhan ekosistem industri termasuk pemasaran, hiliran, pembaikan dan pembinaan kapal.

Langkah itu juga sejajar dengan usaha membangunkan modal insan nelayan serta memastikan peluang pekerjaan dan perniagaan dalam negara dapat dimanfaatkan lebih banyak oleh rakyat tempatan.

Menurutnya, LKIM memperuntukkan hampir RM150,000 bagi melaksanakan program berkenaan dengan kumpulan pertama melibatkan 12 peserta, yang perlu terdiri daripada anak-anak nelayan.

Beliau turut mahu peserta yang memperoleh sijil dan pentauliahan kemahiran selepas tamat latihan terus mendapat peluang bekerja dalam ekosistem perikanan termasuk di limbungan dan kemudahan berkaitan di bawah pengurusan atau penyeliaan LKIM.

Muhammad Faiz berharap program itu tidak dilaksanakan secara bermusim, sebaliknya diteruskan sebagai penanda aras dalam usaha meningkatkan kemahiran, pendapatan dan taraf hidup komuniti nelayan.

“Biarlah setiap lapisan ekosistem perikanan itu, daripada huluan hingga hiliran, dikuasai oleh komuniti nelayan, terutama anak-anak muda nelayan,” katanya.
