1,100 semarak semangat merdeka di Fun Walk Jiwa Merdeka HTJ 2.0
Semangat patriotisme dan perpaduan terus disemarakkan apabila kira-kira 1,100 peserta menyertai Fun Walk Jiwa Merdeka Hang Tuah Jaya (HTJ) 2.0 di Kompleks Belia dan Sukan Melaka, Ayer Keroh, malam tadi.
Program anjuran kali kedua itu diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, selain menjadi wadah menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam suasana santai dan penuh semangat kenegaraan.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim berkata, sambutan terhadap edisi kedua program berkenaan meningkat berbanding tahun lalu, sekali gus menunjukkan minat masyarakat terhadap aktiviti yang mengeratkan hubungan komuniti.
“Ini adalah edisi kedua dan sambutannya amat menggalakkan. Program ini bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan, memupuk semangat persaudaraan dan menggalakkan keharmonian dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada Bernama selepas program itu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada peserta yang hadir bersama keluarga dan rakan-rakan, termasuk mereka yang datang dari kawasan berhampiran mahupun luar kawasan semata-mata untuk menyertai program berkenaan.
Menurut Adam, masyarakat dalam kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya sememangnya konsisten mengambil bahagian dalam pelbagai program yang dianjurkan di kawasan berkenaan.
Katanya, penglibatan itu merangkumi sambutan Hari Kebangsaan, perayaan serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang bertujuan mengeratkan hubungan antara penduduk.
Beliau berkata, pelbagai program turut dilaksanakan sepanjang Bulan Kebangsaan di Hang Tuah Jaya, antaranya pengagihan Jalur Gemilang serta program berskala kecil yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pemahaman dan penghayatan masyarakat terhadap makna kemerdekaan.
Fun Walk Jiwa Merdeka HTJ 2.0 melibatkan laluan sejauh 2.5 kilometer, bermula dari Kompleks Belia dan Sukan Melaka sebelum melalui Jalan Tasik, Jalan Zoo dan Dataran Sejarah sebelum kembali ke lokasi permulaan.
Peserta turut melalui enam lokasi pemeriksaan yang disediakan sepanjang laluan berkenaan.
Program itu mendapat sokongan Jabatan Penerangan Melaka, Akademi Kenegaraan Malaysia, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Komuniti MADANI serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka.— BERNAMA
BACA JUGA “Apa pun pandangan mereka, itu hak mereka” – Ismail ikrar taat setia kepada Tuanku Muhriz