Baja pesawah MADA lewat, Anwar arah SPRM masuk siasat
Kelewatan pengedaran baja kepada pesawah di Kedah sehingga mencetuskan kemarahan penerima mendorong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti semula proses pemberian kontrak berkenaan.
Anwar berkata beliau menerima memo bantahan daripada pesawah berhubung kelewatan bekalan baja yang menyebabkan program mereka terbantut.
Menurutnya, kerajaan perlu mencari punca sebenar kelewatan itu, termasuk meneliti syarikat yang diberikan amanah untuk menguruskan bekalan berkenaan.
“Jadi kita kena cari balik apa puncanya. Syarikat mana yang diberi amanah, mereka tunai janji atau tidak? Kalau mereka tak tunai, mengapa tidak ada tindakan terhadap mereka?” katanya.
Anwar berkata, sekiranya terdapat syarikat yang berulang kali melakukan kesilapan, tindakan tegas perlu diambil termasuk membatalkan kontrak dan menggantikannya dengan syarikat baharu.
“Kalau syarikat yang seperti ini berulang kali melakukan silapan, batalkan. Ambil syarikat baru. Jangan jadikan petani dan pesawah mangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan MAHA 2026 di MAEPS, Selangor.
Malah, Anwar berkata jika terdapat asas untuk membawa pihak berkenaan ke mahkamah, tindakan tersebut perlu dilakukan, manakala SPRM diminta masuk menyiasat proses berkenaan.
“Kalau nak dihadap ke mahkamah, hadapkan mahkamah. Kalau nak didakwa, SPRM masuk, masuk. Saya dah minta SPRM masuk dan kaji balik proses ini,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan tidak boleh membiarkan petani dan pesawah menjadi mangsa akibat kelemahan pengurusan atau kegagalan pihak yang diberikan amanah.
Menurutnya, peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan boleh ditingkatkan kerana manfaatnya akan kembali kepada petani, pesawah, peladang dan nelayan, namun pengurusan dana itu mesti dibuat secara cermat dan beramanah.
Anwar berkata isu kelewatan baja itu tidak seharusnya dipandang ringan kerana pesawah turut berdepan cabaran lain seperti keadaan cuaca dan masalah bekalan air.
BACA JUGA Nafi dakwaan hubungan retak, Zahid kata “Saya duduk sebelah dia lah (Anwar)”