Hadi dituntut jawab adakah Pas kompromi kedaulatan negara?
Dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia kini mencetuskan persoalan lebih besar mengenai keselamatan dan kedaulatan negara.
Persoalan itu dibangkitkan Ketua AWAN Nasional, Aiman Athirah Al-Jundi yang menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai perkara amat serius, khususnya selepas Kedutaan AS di Kuala Lumpur mengeluarkan penafian terhadap sebarang usaha menentukan kepimpinan politik Malaysia.
Menurutnya, sekiranya benar wujud cubaan pihak asing untuk campur tangan dalam usaha menjatuhkan kerajaan Malaysia, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan bahan politik atau dibanggakan di pentas Muktamar Pas.
Sebaliknya, katanya, perkara tersebut sepatutnya dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan kerana ia menyentuh secara langsung soal keselamatan negara dan kedaulatan Malaysia.
“Jika benar terdapat cubaan pihak asing untuk campur tangan dalam usaha menjatuhkan kerajaan Malaysia, perkara ini bukan sesuatu yang patut dijadikan bahan untuk dipertontonkan di pentas politik.
“Ia merupakan isu yang sepatutnya dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan kerana menyentuh keselamatan negara dan kedaulatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dakwaan berkenaan turut menimbulkan persoalan mengapa pertemuan yang didakwa berlaku lebih sedekad lalu itu hanya didedahkan sekarang, termasuk apa yang sebenarnya dibincangkan ketika pertemuan tersebut.
Menurutnya, rakyat berhak mengetahui sama ada benar wujud usaha pihak asing untuk mempengaruhi politik Malaysia, menggugat kestabilan negara atau memudah cara usaha menggulingkan kerajaan yang dipilih secara sah.
“Dakwaan yang dibuat oleh Haji Hadi adalah perkara yang amat serius dan Haji Hadi, bersama beberapa individu yang namanya disebut olehnya, mesti tertakluk kepada siasatan segera,” katanya.
Aiman Athirah turut mempersoalkan sama ada Pas pernah melaporkan dakwaan tersebut kepada pihak berkuasa Malaysia, khususnya jika parti itu benar-benar mengetahui mengenai cubaan campur tangan asing berkenaan ketika ia didakwa berlaku.
Katanya, persoalan yang perlu dijawab ialah sama ada Pas telah mengambil tindakan sewajarnya pada ketika itu atau hanya memilih untuk mendedahkannya selepas lebih 10 tahun berlalu.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa politik Malaysia tidak seharusnya dibina berdasarkan teori konspirasi, persepsi atau dakwaan yang tidak disokong bukti kukuh sehingga perkara sedemikian menjadi sebahagian daripada budaya politik Pas.
Beliau berkata, dakwaan membabitkan campur tangan kuasa asing bukan perkara kecil kerana ia boleh memberi kesan terhadap imej Malaysia di peringkat antarabangsa serta hubungan diplomatik negara.
Kenyataan itu dibuat selepas Kedutaan AS di Kuala Lumpur menafikan bahawa Washington pernah cuba menentukan kepimpinan politik Malaysia, dengan Ketua Misi Kedutaan AS, David H Gamble Jr, berkata sebarang dakwaan yang bertentangan adalah tidak benar.
Justeru, persoalan kini bukan sahaja tertumpu kepada kesahihan dakwaan Hadi, tetapi juga sama ada perkara itu pernah dilaporkan kepada pihak berkuasa ketika ia didakwa berlaku serta mengapa isu yang dikatakan mempunyai implikasi terhadap keselamatan dan kedaulatan negara hanya didedahkan lebih sedekad kemudian.
BACA JUGA