Parti bukan tiket ke syurga, jangan ‘cop’ orang lain terkeluar rahmat Allah
Kenyataan bahawa perjuangan sesebuah parti politik boleh menjadi jalan seseorang menuju syurga mendapat peringatan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Tanpa menyebut nama mana-mana pemimpin secara langsung, Zulkifli menegaskan bahawa syurga dan neraka bukan hak mana-mana individu, pemimpin atau parti politik untuk menentukannya.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada ucapan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam ceramah Sambutan Jubli Intan 75 Tahun Pas di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Dalam ucapan berkenaan, Takiyuddin dilaporkan berkata perjuangan mempertahankan Islam boleh membawa seseorang kepada syahid dan ganjaran syurga, selain menyebut bahawa menyertai Pas dengan tujuan perjuangan tersebut, “insya-Allah kita boleh masuk syurga.”
Sebagai respons, Zulkifli menerusi hantaran di media sosial mengingatkan bahawa penentuan syurga dan neraka adalah hak mutlak Allah SWT.
“Penentuan syurga dan neraka adalah hak mutlak Allah semata-mata, dan tiada mana-mana individu, pemimpin, atau wadah politik yang mempunyai autoriti untuk menjamin laluan ke syurga.”
Menurutnya, menjadikan sokongan kepada organisasi tertentu sebagai syarat untuk memasuki syurga seolah-olah mempertikaikan hak Allah SWT.
Beliau berkata, pendirian sedemikian juga bertentangan dengan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 111 yang mengkritik sikap mendakwa syurga hanya menjadi milik kelompok tertentu.
“Mendakwa sokongan kepada organisasi tertentu sebagai syarat ke syurga seolah-olah mempertikaikan hak Allah serta bertentangan dengan firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 111 yang mengkritik sikap mendakwa syurga hanya milik kelompok sendiri.”
Zulkifli berkata ukuran utama untuk memperoleh keredaan dan rahmat Allah SWT ialah keimanan yang ikhlas, ketakwaan serta amalan soleh berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.
Katanya, ia bukan bergantung kepada keahlian atau sokongan seseorang kepada mana-mana parti politik.
“Syarat utama untuk meraih keredaan dan rahmat Allah adalah keimanan yang ikhlas, ketakwaan, serta amalan soleh mengikut ajaran al-Quran dan al-Sunnah, bukannya borang keahlian atau sokongan kepada mana-mana bendera politik.”
Dalam pada itu, Zulkifli turut menegur sikap mana-mana kumpulan yang menganggap diri mereka pasti suci sementara pihak lain pula dianggap telah terkeluar daripada rahmat Allah.
Beliau menyifatkan kecenderungan sedemikian sebagai bentuk memuji diri sendiri dan sikap melampau yang dilarang dalam Islam.
“Sikap mendakwa kumpulannya pasti suci manakala orang lain terkeluar daripada rahmat Allah merupakan bentuk memuji diri sendiri dan ghuluw (sikap melampau) yang dilarang keras dalam Islam.”
Pada masa sama, Zulkifli mengingatkan bahawa parti politik hanyalah wadah atau perantara kepada usaha manusia dan tidak boleh disamakan dengan agama itu sendiri.
“Parti politik hanyalah satu wasilah (alat atau perantara) usaha manusia yang tidak sunyi daripada kelemahan dan ijtihad, bukannya agama itu sendiri.”
Beliau menyeru supaya kegiatan politik dilaksanakan secara matang dan berakhlak, berteraskan keadilan serta kepentingan ummah.
“Berpolitiklah dengan matang dan berakhlak berasaskan keadilan serta kemaslahatan ummah, tanpa menggadaikan nilai akidah dan ukhuwah Islamiah.”
Kenyataan Zulkifli itu sekali gus membuka persoalan mengenai batas antara perjuangan politik berteraskan agama dengan dakwaan bahawa sokongan kepada sesuatu parti mempunyai kaitan dengan kedudukan seseorang di akhirat.
Dalam konteks itu, mesej beliau jelas bahawa parti politik boleh menjadi wadah perjuangan, tetapi hak menentukan siapa yang mendapat rahmat, keampunan dan syurga kekal milik Allah SWT, bukan mana-mana pemimpin atau organisasi politik.
BACA JUGA Takiyuddin kata memang betul sokong Pas masuk syurga