Anwar beri bayangan peruntukan pertanian ditambah dalam Belanjawan Oktober

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Penutup MAHA 2026 disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Turut hadir YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan D2 MAEPS, Serdang, Selangor, 6hb September 2026 (Ahad)

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan ditambah dalam Belanjawan Negara Oktober ini susulan prestasi sektor pertanian yang disifatkan membanggakan.

Beliau berkata, meskipun negara memberi tumpuan kepada transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga dan teknologi moden, sektor pertanian kekal sebagai antara tonggak utama pembangunan negara serta keterjaminan makanan.

Beliau berkata, meskipun negara memberi tumpuan kepada transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga dan teknologi moden, sektor pertanian kekal sebagai antara tonggak utama pembangunan negara serta keterjaminan makanan.

“Dalam merangka Belanjawan Negara bulan Oktober ini, sekadar perbincangan awal kita, kementerian dan program pertanian ini masih merupakan fokus dan saya percaya peruntukan itu tentunya harus ditambah sesuai dengan prestasi yang membanggakan,” katanya.

Anwar berkata, perkembangan eksport nanas serta peningkatan pengeluaran bawang tempatan membuktikan sektor pertanian negara semakin moden dan mempunyai potensi besar dalam perdagangan serta pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang peningkatan peruntukan mesti disertai tatakelola yang baik bagi memastikan wang rakyat benar-benar sampai kepada petani, pesawah, peladang dan nelayan tanpa berlaku ketirisan.

Dalam masa sama, Perdana Menteri mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap syarikat yang gagal melaksanakan amanah termasuk berkaitan kelewatan pengedaran baja kepada pesawah di Kedah, selain meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti proses berkenaan.

Anwar turut menyifatkan MAHA 2026 sebagai antara penganjuran paling berjaya dalam sejarahnya apabila menarik hampir lima juta pengunjung selain mencatat pencapaian dalam pelaburan, perniagaan dan perdagangan.

Beliau mahu kejayaan itu diteruskan melalui tindakan susulan terhadap setiap kerjasama dan pelaburan yang terhasil, bukan sekadar berakhir sebagai sebuah pameran atau pesta pertanian.

“Bumi dan tanah dan usaha pertanian dan makanan ini masih menjadi fokus,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada seluruh warga KPKM, penjawat awam dan sukarelawan yang menjayakan MAHA 2026.