MAHA 2026 catat RM10.35 bilion MoU, jualan hampir RM67 juta

FOTO BERITA: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 mencatat pencapaian memberangsangkan apabila nilai memorandum persefahaman (MoU) dan jangkaan pelaburan mencecah kira-kira RM10.35 bilion sepanjang 10 hari penganjuran.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sehingga 5 September, MAHA 2026 turut merekodkan kehadiran kira-kira 4.3 juta pengunjung, termasuk 1.7 juta golongan belia.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sehingga 5 September, MAHA 2026 turut merekodkan kehadiran kira-kira 4.3 juta pengunjung, termasuk 1.7 juta golongan belia.

Menurut beliau, hampir 2,000 pempamer tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian, manakala nilai jualan langsung pula mencecah RM66.88 juta.

“MAHA 2026 telah membuktikan bahawa kekangan kewangan bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan,” katanya dalam ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Penutup MAHA 2026 di MAEPS, Serdang, semalam.

Majlis penutup disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamad berkata, MAHA 2026 turut menjadi medan perpaduan rakyat melalui penyertaan pelbagai lapisan masyarakat serta aktiviti di 13 Pavilion Negeri, Food Empire dan laman-laman sektor pertanian.

Beliau berkata, kejayaan MAHA kali ini perlu diteruskan melalui tindakan susulan terhadap perjanjian, perkongsian teknologi dan pelaburan supaya manfaatnya sampai terus kepada petani, peladang, penternak serta nelayan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata defisit imbangan dagangan sektor agromakanan berjaya dikurangkan sebanyak RM5.4 bilion atau 13.8 peratus pada 2025, manakala sehingga Mei 2026, defisit itu terus menurun sebanyak 26.4 peratus.

Pada 2025, nilai eksport agromakanan meningkat 8.1 peratus kepada RM58.8 bilion, manakala import menurun 1.1 peratus kepada RM92.7 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Mohamad berkata, KPKM mahu MAHA terus berkembang sebagai hab inovasi agromakanan utama di rantau ini serta menarik lebih ramai anak muda dan tenaga berkemahiran tinggi menyertai sektor pertanian negara.