Tular: Surat kerajaan BN minta sokongan AS menjelang PRU14
Sepucuk surat bertarikh 4 Mei 2018 yang didakwa dihantar kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) kembali menjadi perhatian selepas dikongsikan oleh Adrian Lim Chee En di media sosial.
Surat yang bertarikh hanya lima hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) itu didakwa menunjukkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak ketika itu memohon sokongan Amerika Syarikat (AS) sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti tipis.
Adrian dalam perkongsiannya mendakwa surat tersebut merupakan surat rasmi kerajaan Malaysia pimpinan Najib kepada kerajaan AS melalui CIA.
“Ini bukan fitnah. Ini surat rasmi kerajaan Malaysia pimpinan Najib/Umno kepada kerajaan AS melalui CIA,” katanya dalam hantaran tersebut.
Menurut Adrian, surat itu antara lain menunjukkan kerajaan ketika itu cuba meyakinkan Washington bahawa BN merupakan rakan strategik AS, manakala gabungan pembangkang ketika itu, Pakatan Harapan (PH), berpotensi menjejaskan kepentingan AS di rantau ini.
Surat tiga halaman tersebut dialamatkan kepada Gina Haspel, yang ketika itu merupakan pengarah yang bakal dilantik bagi CIA di Langley, Amerika Syarikat.
Ia ditandatangani oleh Datuk Hasanah Ab Hamid, yang ketika itu merupakan Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri.
Dalam surat berkenaan, penulis menyatakan PRU14 yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mei 2018 dijangka menjadi antara pilihan raya paling sengit dalam sejarah Malaysia.
Antara perkara yang paling menarik perhatian ialah permintaan supaya AS terus menyokong kerajaan Najib sekiranya BN menang dengan majoriti yang sangat kecil.
Surat itu secara khusus menyebut kemungkinan kerajaan hanya memperoleh majoriti mudah satu kerusi.
Penulis berharap pihak Haspel dapat melaporkan kepada Setiausaha Negara AS mengenai kerumitan mengurus pilihan raya tersebut serta keperluan supaya AS memberikan sokongan kepada kerajaan sedia ada.
Surat itu turut menyatakan bahawa sebarang petunjuk kerajaan AS akan terus menyokong Najib dan pentadbirannya akan mengukuhkan kestabilan Malaysia serta hubungan antara kedua-dua negara.
PH digambarkan sebagai tidak menguntungkan AS
Untuk meyakinkan pihak AS, surat tersebut turut membandingkan BN dengan PH yang ketika itu diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut surat itu, empat parti yang membentuk PH tidak mengemukakan cadangan konkrit dan berdaya maju berkaitan dasar luar Malaysia yang mampu menangani cabaran geopolitik.
Ia turut mendakwa perkara itu boleh menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-AS serta kestabilan keselamatan di Asia Tenggara.
Mahathir pula digambarkan dalam surat tersebut sebagai tokoh yang pernah bersikap anti-Barat dan anti-Semitik, selain didakwa bersifat autoritarian serta pernah menggunakan ISA bagi tujuan politik.
Sebaliknya, Najib digambarkan sebagai pemimpin yang mempunyai rekod dasar luar yang kukuh serta memainkan peranan aktif dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan serantau.
Surat itu turut menyatakan bahawa Najib dikenali sebagai pemimpin yang kuat menyokong AS dan akan meneruskan sokongan terhadap kehadiran Washington di rantau ini.
Penulis malah memberi amaran bahawa AS boleh kehilangan seorang “reliable partner in Southeast Asia” sekiranya Najib tidak lagi menerajui negara.
Isu Laut China Selatan turut dijadikan hujah, dengan surat itu menyatakan Malaysia mengalu-alukan kehadiran AS di rantau tersebut bagi menyediakan keseimbangan terhadap tuntutan maritim China.
Kerajaan ketika itu juga dikatakan menghargai bantuan AS dalam meningkatkan keupayaan keselamatan maritim, latihan dan pertukaran risikan berkaitan Laut China Selatan.
Perkara yang menjadikan dokumen itu lebih menarik ialah tarikhnya 4 Mei 2018, hanya lima hari sebelum rakyat Malaysia mengundi pada PRU14.
BACA JUGA Label PH melatah, Kamil balas Ahmad Fadhli soal isu Amerika