Urus jerebu tidak boleh bersifat bermusim tetapi perlu pelan jangka panjang

Kerajaan Persekutuan dan Sarawak digesa mengambil tindakan lebih awal bagi menangani keadaan jerebu yang kembali memburuk, khususnya di Sarawak, sebelum pencemaran udara mencapai tahap kritikal.

Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Omar Ali berkata jerebu perlu dilihat sebagai isu kesihatan awam yang memerlukan tindakan segera dan bersepadu, bukannya sekadar masalah pencemaran udara bermusim.

Beliau berkata setakat 7 September 2026, Serian dan Samarahan masing-masing merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 245 dan 234 pada jam 2 petang, iaitu pada tahap sangat tidak sihat, manakala 40 kawasan di seluruh negara turut berada pada tahap tidak sihat.

Menurutnya, keadaan itu perlu dipandang serius selepas Sarawak sebelum ini melalui episod jerebu yang amat buruk apabila bacaan IPU di Serian pernah mencecah sekitar 500 sehingga pengisytiharan darurat dibuat demi keselamatan penduduk.

Walaupun darurat di Serian telah ditamatkan, Sheikh Omar berkata perkara itu tidak seharusnya dianggap sebagai tanda krisis jerebu sudah berakhir kerana keadaan udara di Sarawak masih belum pulih sepenuhnya.

“Penamatan darurat tidak harus disamakan dengan penamatan krisis jerebu. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak perlu terus berada dalam keadaan berjaga-jaga sehingga keadaan benar-benar stabil dan bacaan IPU berada pada tahap yang selamat secara konsisten,” katanya dalam kenyataan.

Sheikh Omar berkata pemantauan bacaan IPU secara masa nyata perlu diperkukuhkan supaya tindakan perlindungan terhadap rakyat dapat dilaksanakan sebaik sesuatu kawasan menghampiri atau melepasi paras sangat tidak sihat, tanpa menunggu keadaan menjadi lebih berbahaya.

Beliau turut menggesa kerajaan memastikan arahan yang seragam dan jelas diberikan kepada sekolah, tadika, taska, tempat kerja serta penganjur aktiviti luar. Jika keadaan mencapai tahap berbahaya, aktiviti luar perlu dihadkan dan mekanisme seperti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) atau pengaturan kerja yang sesuai dilaksanakan mengikut keadaan setempat.

Dalam masa sama, katanya, pengesanan dan penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka perlu dipertingkatkan, termasuk mengenal pasti dan memantau setiap sumber kebakaran sebelum asap merebak serta menjejaskan kawasan lebih luas.

“Jika terdapat unsur pembakaran secara sengaja atau kecuaian yang menyebabkan kebakaran merebak, tindakan penguatkuasaan perlu tegas. Kesihatan jutaan rakyat tidak boleh dikompromi hanya kerana kecuaian segelintir pihak,” katanya.

Beliau turut menyeru kerajaan memperkukuh kerjasama dengan negara jiran bagi menangani jerebu rentas sempadan, namun usaha diplomatik itu perlu berjalan seiring dengan tindakan domestik dan tidak hanya bergantung kepada perubahan angin atau hujan.

Pada masa sama, Sheikh Omar mencadangkan kerajaan memastikan bekalan pelitup muka yang bersesuaian, khususnya untuk golongan rentan, mudah diperoleh dan tidak membebankan penduduk di kawasan terjejas teruk. 

Sheikh Omar berkata pengurusan jerebu tidak boleh bersifat bermusim dan memerlukan pelan tindakan jangka panjang melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi penguatkuasaan, sektor swasta serta masyarakat.

BACA JUGA Jangan sekadar jadi penyampai – Wan Azizah mahu komuniti MADANI dengar suara rakyat