Duit lot rumah RM1.6 juta disyaki diseleweng, pengerusi perumahan dicekup
Seorang pengerusi jawatankuasa perumahan sebuah badan berkanun di Johor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah serta menyalahgunakan kuasa dalam urusan permohonan lot tapak perumahan.
Suspek yang merupakan lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 7.30 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Johor.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati perbuatan tersebut dipercayai berlaku antara 2016 hingga 2025.
Suspek dipercayai menyalahgunakan kuasanya dengan meminta kira-kira RM4,000 daripada setiap 400 pemohon lot tapak rumah, melibatkan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.6 juta.
Wang berkenaan kemudiannya didakwa diseleweng untuk kegunaan sendiri menerusi pengeluaran daripada akaun bank jawatankuasa terbabit menggunakan invois palsu.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan penahanan berkenaan.
Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A), Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Suspek akan dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas proses merakam keterangannya selesai.
BACA JUGA Kempen Internet Selamat dekati peserta veteran di Kelantan, tingkat kesedaran ancaman scam