Nahas helikopter: Keluarga sahkan Dr Ainul meninggal dunia

Kementerian Kesihatan (KKM) telah menghubungi keluarga Dr Ainul Baroah Kamaruddin petang tadi, memaklumkan bahawa pegawai perubatan berkenaan telah meninggal dunia.

Adik ipar kepada mangsa, Nureez Mohd Pauzi berkata, panggilan daripada KKM itu dibuat kepada suami Dr Ainul, Muhammad Faiz Abdul Malik, kira-kira jam 4 petang.

Dr Ainul dikenal pasti sebagai antara lima individu berada dalam helikopter dilaporkan terhempas dan terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Marudi, petang tadi.

“Kami sekeluarga kini berada di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) untuk ke Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Sarawak pada subuh esok,” katanya.

Terdahulu, juruterbang dan penumpang helikopter BO-105 yang terhempas serta terbakar sepenuhnya di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang dilaporkan sudah dikenal pasti.

Mereka terbabit dikenal pasti sebagai Kapten Zainol, Dr Ainul, Penolong Pegawai Perubatan (PPP) Alexson Adit dan dua jururawat, Debra Moset serta Jessie Paya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang, anggota pasukan penyelamat dan perubatan dilaporkan tiba di lokasi pada jam 3.46 petang bagi menjalankan operasi menyelamat.

BACA JUGA Cemas di pedalaman Sarawak, helikopter doktor udara bawa lima individu terhempas