RENCANA | Budaya politik menuding jari: Sampai bila pembangunan negara mahu dikorbankan?
OLEH DR AZRIE AZEH
Malaysia tidak pernah ketandusan politik. Perbahasan politik, persaingan idea dan perbezaan pandangan merupakan sebahagian daripada denyut nadi demokrasi.
Namun demikian, perkembangan budaya politik yang terlalu berorientasikan perseteruan, polemik dan tindakan menuding jari perlu diberikan perhatian serius apabila dinamika tersebut mula mengatasi keutamaan pembangunan negara.
Persoalan yang lebih mendasar bukanlah sama ada kerajaan wajar dikritik atau pembangkang wajar bersuara.
Kedua-duanya merupakan komponen penting dalam sistem demokrasi. Persoalannya ialah sama ada tenaga politik negara sedang dimanfaatkan untuk menghasilkan penyelesaian terhadap masalah rakyat, atau sebaliknya terlalu banyak dihabiskan untuk mencari pihak yang boleh dipersalahkan.
Apabila setiap kelemahan kerajaan dijadikan modal politik, setiap dasar ditafsirkan melalui lensa kepartian dan setiap inisiatif pembangunan diperdebatkan atas dasar siapa yang memperoleh keuntungan politik daripadanya, agenda yang lebih besar berisiko diketepikan.
Dalam keadaan sedemikian, pembangunan ekonomi, pendidikan, pembinaan modal insan dan peningkatan taraf hidup rakyat boleh kehilangan momentum.
Lebih penting lagi, negara tidak boleh membiarkan persaingan politik menjadi penghalang kepada usaha membina ekonomi yang kukuh, inklusif dan berdaya tahan.
Politik yang berpanjangan dan kos terhadap pembangunan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atau lebih dikenali sebagai PMX, berhadapan dengan tanggungjawab yang kompleks dalam mengemudi negara.
Kerajaan bukan sahaja perlu mengurus pertumbuhan ekonomi dan kestabilan fiskal, malah perlu memperkukuh institusi, menangani kos sara hidup, menarik pelaburan berkualiti, meningkatkan produktiviti, memperbaiki penyampaian perkhidmatan awam serta memastikan pembangunan antara wilayah dan negeri berlangsung secara lebih seimbang.
Dalam masa yang sama, kerajaan perlu berhadapan dengan tekanan politik yang sentiasa berubah. Namun, kestabilan politik bukan sekadar persoalan kelangsungan sesebuah kerajaan.
Ia mempunyai implikasi terhadap keyakinan pelabur, kesinambungan dasar, perancangan perniagaan, penciptaan pekerjaan dan kemampuan negara melaksanakan reformasi struktural dalam tempoh yang panjang.
Pembangunan tidak boleh bergerak secara konsisten sekiranya tumpuan nasional sentiasa terganggu oleh polemik politik yang tidak berkesudahan.
PMX sendiri telah menekankan kepentingan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negara.
Pada Jun 2026, beliau turut menegaskan pentingnya kematangan, kewarasan dan kebijaksanaan politik dalam mempertahankan perpaduan serta kestabilan negara.
Persoalannya, mengapa kita masih terperangkap dalam budaya politik yang lebih gemar bertanya “siapa yang salah?” berbanding “apakah penyelesaian yang terbaik untuk rakyat?”
Antara kritikan membina dengan budaya menuding jari
Demokrasi memerlukan semak dan imbang.
Kerajaan wajib dipersoalkan apabila melakukan kesilapan, manakala pembangkang mempunyai tanggungjawab untuk menawarkan alternatif yang munasabah.
Namun, terdapat perbezaan yang jelas antara kritikan konstruktif dengan politik menuding jari.
Kritikan konstruktif bertolak daripada persoalan yang bersifat substantif: Apakah masalah sebenar? Apakah data yang menyokong dakwaan tersebut?
Apakah kelemahan sesuatu dasar? Apakah pilihan dasar yang lebih berkesan? Bagaimanakah sesuatu pendekatan boleh diperbaiki?
Sebaliknya, politik menuding jari cenderung menjadikan pencarian pesalah sebagai matlamat utama.
Jika budaya sedemikian berterusan, ruang politik akan dipenuhi polemik, sementara ruang untuk perbahasan dasar yang serius semakin mengecil.
Kerajaan akhirnya menghabiskan sebahagian tenaga untuk menjawab tuduhan. Pembangkang pula terdorong menghasilkan naratif politik yang mampu mengekalkan perhatian awam.
Media sosial menjadi medan pertikaian, sementara rakyat menjadi pemerhati kepada persengketaan yang tidak semestinya memberikan penyelesaian kepada masalah kehidupan mereka.
Kos sebenar keadaan ini bukan sekadar kos politik. Ia adalah kos pembangunan.
Pembangunan memerlukan fokus, kesinambungan dan disiplin dasar
Sebuah negara tidak boleh dibangunkan melalui retorik semata-mata.
Pembangunan memerlukan perancangan jangka panjang, kesinambungan dasar, kestabilan institusi, kecekapan pentadbiran, produktiviti buruh, pelaburan dalam pendidikan, penguasaan teknologi serta kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta, institusi pendidikan dan masyarakat.
Data ekonomi menunjukkan Malaysia sebenarnya mempunyai asas pertumbuhan yang penting.
Pada 2024, keluaran dalam negara kasar negara berkembang sebanyak 5.1 peratus, manakala pasaran buruh terus mengukuh dengan tenaga buruh mencecah 16.90 juta orang dan kadar penyertaan tenaga buruh 70.6 peratus.
Namun, pertumbuhan makroekonomi tidak semestinya bermakna seluruh lapisan masyarakat menikmati peningkatan kekayaan pada kadar yang sama.
Di sinilah agenda pembangunan perlu bergerak daripada sekadar mengejar kadar pertumbuhan kepada persoalan yang lebih struktural: siapa yang memiliki aset, siapa yang menguasai kemahiran bernilai tinggi, siapa yang mencipta syarikat berskala besar dan siapa yang memperoleh manfaat terbesar daripada pertumbuhan ekonomi?
Jika setiap isu pembangunan sentiasa ditarik ke gelanggang politik, kita berisiko kehilangan perspektif jangka panjang. Malaysia mempunyai potensi besar.
Tetapi potensi tanpa fokus hanya menjadi angka dalam ucapan. Persoalan besar: Di manakah kedudukan ekonomi Melayu?
Dalam membincangkan pembangunan Malaysia, satu persoalan yang tidak boleh dielakkan ialah kedudukan sosioekonomi masyarakat Melayu dan Bumiputera.
Persoalan ini tidak wajar dilihat semata-mata sebagai isu politik atau perkauman. Ia perlu dianalisis sebagai persoalan pembangunan negara.
Masyarakat Melayu dan Bumiputera merupakan komponen terbesar masyarakat warganegara Malaysia.
Oleh itu, peningkatan produktiviti, pendapatan, pemilikan aset, penguasaan pendidikan tinggi, keupayaan keusahawanan dan penyertaan dalam sektor ekonomi bernilai tambah tinggi dalam kalangan masyarakat ini mempunyai hubungan langsung dengan kekuatan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.
Data terkini menunjukkan bahawa masih terdapat jurang pendapatan yang perlu ditangani.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), median pendapatan kasar isi rumah Bumiputera pada 2024 ialah sekitar RM6,559 sebulan, berbanding RM8,886 bagi isi rumah Cina dan RM7,934 bagi isi rumah India.
Dari segi pendapatan purata, Bumiputera mencatat RM8,220, berbanding RM11,494 bagi Cina dan RM9,841 bagi India.
Angka ini tidak seharusnya dijadikan bahan untuk memburukkan mana-mana kelompok. Sebaliknya, ia harus menjadi cermin dasar.
Jika selepas puluhan tahun pembangunan ekonomi negara masih wujud jurang pendapatan antara kelompok, maka persoalan yang perlu dikemukakan ialah:
Apakah intervensi yang benar-benar berkesan dan apakah pendekatan yang perlu diperbaharui? Inilah persoalan pembangunan yang sebenar.
Daripada pendapatan kepada pemilikan kekayaan
Pendapatan bukan satu-satunya ukuran kemajuan ekonomi.
Sebuah masyarakat boleh mengalami peningkatan pendapatan, tetapi masih mempunyai kelemahan dalam pemilikan aset, ekuiti, perusahaan dan harta produktif.
Atas sebab itu, perbincangan mengenai pembangunan Melayu perlu bergerak daripada persoalan pendapatan kepada persoalan pemilikan dan penciptaan kekayaan.
Data kerajaan menunjukkan bahawa sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih belum dicapai.
Berdasarkan data 2019 yang digunakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera ialah 17.2 peratus, berbanding 25 peratus bukan Bumiputera, 45.5 peratus asing dan 12.3 peratus melalui penama.
Laporan Sesi Libat Urus Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 pula menyatakan bahawa pemilikan ekuiti Bumiputera berada pada 18.4 peratus pada 2022 dan mencadangkan agar ukuran penciptaan kekayaan diperluas melangkaui sasaran ekuiti semata-mata.
Angka-angka ini membawa kita kepada persoalan yang lebih besar.
Mengapa setelah sekian lama dasar afirmatif dilaksanakan, kita masih belum berjaya menghasilkan bilangan syarikat Bumiputera yang jauh lebih besar, lebih berdaya saing, lebih inovatif dan mampu berkembang ke peringkat serantau serta global?
Persoalan ini tidak boleh dijawab hanya dengan menuding jari kepada kerajaan semasa. Ia juga tidak boleh dijawab dengan menyalahkan masyarakat Melayu.
Jawapannya perlu dicari melalui analisis terhadap struktur pembiayaan, pendidikan, jaringan perniagaan, tadbir urus korporat, akses pasaran, produktiviti, pengumpulan modal dan keupayaan syarikat berkembang daripada perusahaan kecil kepada perusahaan berskala besar.
Apa yang boleh dipelajari daripada masyarakat lain? Perbandingan antara masyarakat perlu dibuat dengan disiplin akademik.
Tidak wajar mengatakan sesuatu bangsa secara keseluruhan “lebih maju” daripada bangsa yang lain.
Masyarakat dalam setiap kelompok mempunyai golongan yang sangat berjaya, sederhana dan rentan.
Namun, kita boleh membandingkan institusi, prestasi, budaya ekonomi, tahap pendidikan dan keupayaan membina modal.
Dalam konteks Malaysia, sebahagian komuniti bukan Bumiputera telah berjaya membina jaringan perusahaan keluarga, pengumpulan modal, kesinambungan perniagaan antara generasi dan penguasaan dalam sektor perdagangan serta perusahaan tertentu.
Apa yang perlu dilakukan bukanlah merasa rendah diri terhadap kejayaan tersebut. Sebaliknya, kita perlu mengkajinya.
Apakah yang menyebabkan sesebuah keluarga mampu mengekalkan perniagaan selama dua atau tiga generasi?
Bagaimanakah modal dikumpulkan? Bagaimanakah anak-anak dipersiapkan untuk mengambil alih perusahaan?
Bagaimanakah rangkaian pelanggan dibina? Bagaimanakah syarikat kecil berkembang menjadi syarikat sederhana dan seterusnya syarikat besar?
Dan bagaimana keuntungan perniagaan ditukar menjadi aset yang produktif untuk generasi berikutnya?
Pertanyaan sebegini jauh lebih produktif daripada sekadar menuduh bahawa sesuatu kelompok “mendominasi ekonomi”.
Singapura, Korea Selatan dan cabaran daya saing Malaysia
Perbandingan dengan negara Asia juga memberikan pengajaran penting.
Singapura, Korea Selatan, Jepun dan beberapa ekonomi Asia Timur telah menunjukkan bahawa pembangunan ekonomi yang berkesinambungan sangat bergantung pada kualiti modal insan, produktiviti, inovasi, teknologi dan keupayaan institusi.
Dalam PISA 2022, Singapura mencatat 575 mata dalam matematik, 543 dalam bacaan dan 561 dalam sains. Korea Selatan, Jepun dan beberapa ekonomi Asia Timur lain turut berada dalam kelompok sistem pendidikan berprestasi tinggi.
Malaysia pula mencatat 409 mata dalam matematik, 388 dalam bacaan dan 416 dalam sains.
Hanya 41 peratus pelajar Malaysia mencapai sekurang-kurangnya Tahap 2 dalam matematik, berbanding purata OECD sebanyak 69 peratus.
Angka ini sepatutnya menjadi panggilan untuk melakukan pembaharuan pendidikan secara serius.
Persoalannya bukan semata-mata mengapa Singapura mengatasi Malaysia.
Persoalannya ialah apakah yang mereka lakukan secara konsisten sehingga sistem pendidikan mereka mampu menghasilkan modal insan yang lebih berdaya saing?
Perbandingan ini penting kerana ekonomi masa depan tidak lagi bergantung semata-mata kepada sumber asli, tenaga buruh murah atau kelebihan geografi.
Ekonomi masa depan bergantung kepada manusia yang mampu menyelesaikan masalah kompleks, mencipta teknologi, mengurus modal, membangunkan syarikat dan menghasilkan inovasi.
Malaysia tidak kekurangan graduan, tetapi perlu lebih banyak pencipta nilai
Masyarakat Melayu sebenarnya telah mencatat kemajuan pendidikan yang besar. DOSM merekodkan kira-kira 3.7 juta graduan Bumiputera pada 2024.
Dalam kalangan Bumiputera yang bekerja, 37.1 peratus mempunyai pendidikan tertiari. Kadar penyertaan tenaga buruh graduan Bumiputera pula mencapai 86 peratus.
Ini merupakan pencapaian yang tidak boleh dipandang ringan. Namun, cabaran seterusnya bukan lagi sekadar meningkatkan jumlah graduan.
Cabaran sebenar ialah meningkatkan kualiti, produktiviti dan nilai ekonomi graduan tersebut.
Kita perlu melahirkan lebih ramai saintis, jurutera, pakar teknologi, pengurus, akauntan, peguam, doktor, penyelidik, pereka teknologi, pengasas syarikat dan pemimpin korporat yang bukan sahaja bekerja dalam organisasi sedia ada tetapi mampu membina organisasi baharu.
Universiti tidak boleh sekadar menjadi institusi pemberi kelayakan.
Universiti perlu menjadi pusat pembinaan modal insan, penyelidikan, inovasi, pengkomersialan dan keusahawanan berasaskan pengetahuan.
Pendidikan Melayu mesti bergerak ke tahap baharu
Jika masyarakat Melayu mahu meningkatkan kedudukan ekonomi secara berterusan, pendidikan mesti menjadi agenda strategik nasional.
Pendidikan bukan sekadar jalan mendapatkan pekerjaan.
Pendidikan ialah mekanisme mobiliti sosial, pembentukan modal insan dan penciptaan kapasiti ekonomi.
Oleh sebab itu, perhatian perlu diberikan kepada matematik, sains, teknologi, kejuruteraan, kecerdasan buatan, ekonomi digital, kewangan, pengurusan, perubatan dan bidang profesional bernilai tinggi.
Kita tidak boleh berpuas hati sekadar melihat peningkatan jumlah graduan.
Kita perlu bertanya apakah tahap kemahiran mereka, kebolehpasaran mereka dan keupayaan mereka menghasilkan nilai.
Jika data PISA menunjukkan Malaysia masih jauh di belakang sistem pendidikan seperti Singapura, Korea Selatan dan Jepun dalam beberapa ukuran pembelajaran, maka persoalan pendidikan perlu diletakkan di atas pertimbangan politik jangka pendek.
Kita memerlukan reformasi pendidikan yang konsisten merentas beberapa kitaran politik.
Anak-anak Malaysia tidak sepatutnya menjadi mangsa perubahan dasar setiap kali berlaku perubahan kerajaan.
Daripada budaya bantuan kepada budaya pemerkasaan
Dasar afirmatif mempunyai sejarah dan rasionalnya tersendiri dalam pembentukan ekonomi Malaysia.
Namun, dasar yang baik perlu sentiasa dinilai berdasarkan hasil.
Persoalan yang perlu ditanya ialah sama ada sesuatu intervensi meningkatkan keupayaan penerima untuk berdikari, mengumpul aset dan bersaing, atau sebaliknya menghasilkan kebergantungan yang berpanjangan.
Matlamat akhir dasar pembangunan Melayu seharusnya bukan menghasilkan masyarakat yang sentiasa menunggu bantuan.
Matlamatnya ialah menghasilkan masyarakat yang mempunyai kapasiti untuk berdiri sendiri.
Bantuan harus menjadi jambatan, bukan destinasi.
Pembiayaan harus menjadi modal pengembangan.
Latihan harus meningkatkan produktiviti. Pendidikan harus membuka mobiliti sosial. Dasar kerajaan harus mewujudkan medan persaingan yang adil.
Dan kejayaan akhirnya harus diukur melalui peningkatan pendapatan, produktiviti, pemilikan aset, pemilikan perusahaan dan daya saing.
Melayu perlu lebih banyak mencipta kekayaan
Masyarakat Melayu perlu membina lebih banyak kekayaan produktif.
Kita memerlukan lebih ramai usahawan yang mampu berkembang daripada perusahaan mikro kepada perusahaan kecil, sederhana dan seterusnya syarikat berskala nasional atau antarabangsa.
Kita memerlukan lebih ramai pemilik teknologi. Lebih ramai pemilik harta intelek. Lebih ramai pelabur. Lebih ramai pengasas syarikat. Lebih ramai pemilik firma profesional.
Lebih ramai pencipta pekerjaan. Lebih ramai pemilik aset produktif. Dan lebih ramai generasi kedua serta ketiga yang mampu mengembangkan perusahaan keluarga kepada skala yang lebih besar.
Inilah transformasi ekonomi yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan Melayu.
Politik Melayu perlu beralih daripada retorik kepada strategi ekonomi
Atas sebab itu, wacana politik Melayu perlu mengalami perubahan paradigma. Kita tidak memerlukan politik yang hanya membangkitkan kebimbangan, kemarahan dan rasa terancam.
Kita memerlukan politik yang mempunyai strategi ekonomi jangka panjang.
Kita perlu bertanya:
Apakah sasaran peningkatan pendapatan sebenar masyarakat Melayu dalam tempoh 10 hingga 20 tahun?
Bagaimanakah pemilikan aset produktif Melayu boleh dipertingkatkan?
Bagaimanakah kita boleh melahirkan lebih banyak syarikat Melayu yang mampu menembusi pasaran global?
Bagaimanakah kita memperkukuh pendidikan STEM dan kemahiran digital? Bagaimanakah kita meningkatkan produktiviti pekerja Melayu?
Bagaimanakah kita memperluas akses kepada modal pertumbuhan dan modal teroka?
Bagaimanakah kita memastikan anak Melayu daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat pendidikan berkualiti?
Dan yang paling penting, bagaimanakah kejayaan ekonomi dapat diwariskan secara produktif kepada generasi seterusnya?
Inilah bentuk persoalan politik yang seharusnya mendominasi wacana Melayu.
Jangan semua perkara dijadikan gelanggang pilihan raya
Malaysia perlu keluar daripada mentaliti bahawa setiap isu mesti mempunyai pemenang dan pihak yang kalah.
Pembangunan infrastruktur bukan milik satu parti. Pendidikan bukan milik kerajaan semata-mata. Ekonomi bukan milik pembangkang atau kerajaan.
Keselamatan rakyat bukan isu kepartian. Begitu juga usaha memperkukuh institusi, membanteras rasuah, meningkatkan daya saing, memperkasa masyarakat Melayu dan memperbaiki taraf hidup rakyat.
Jika sesuatu dasar kerajaan terbukti baik, pembangkang tidak rugi menyokongnya. Jika sesuatu dasar lemah, kerajaan pula tidak seharusnya takut memperbaikinya.
Itulah politik yang matang.
PMX juga perlu dinilai dengan adil
Mempertahankan usaha Perdana Menteri tidak bermaksud memberikan beliau atau kerajaan cek kosong.
PMX dan kerajaan perlu terus dinilai berdasarkan prestasi, kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan dasar. Rakyat berhak menuntut hasil, bukan sekadar mendengar janji.
Namun, penilaian juga perlu dilakukan secara adil dan berdasarkan fakta.
Seorang Perdana Menteri tidak bekerja dalam ruang kosong. Beliau berhadapan dengan sistem pentadbiran yang besar, kepentingan pelbagai pihak, kekangan fiskal, realiti politik dan tuntutan rakyat yang pelbagai.
Justeru, jika terdapat kelemahan, kritiklah dengan fakta.
Jika berlaku kesilapan, kemukakan pembetulan.
Jika terdapat dasar yang baik, akuilah keberkesanannya.
Jangan sampai kerana terlalu mahu menjatuhkan seseorang pemimpin, kita akhirnya turut melemahkan keyakinan terhadap institusi negara dan agenda pembangunan nasional.
PMX mungkin tidak mampu menyelesaikan semua masalah negara dalam satu penggal. Tiada seorang pemimpin pun mampu melakukannya.
Tetapi kerajaan memerlukan ruang untuk melaksanakan dasar, manakala pembangkang pula perlu menawarkan alternatif yang boleh dilaksanakan.
Negara tidak boleh menjadi tebusan politik
Sudah tiba masanya budaya politik Malaysia bergerak daripada politik “siapa salah?” kepada politik “apa penyelesaiannya?”
Rakyat tidak bangun setiap pagi untuk memikirkan parti mana yang menang.
Rakyat mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan yang baik.
Mereka mahu pekerjaan yang lebih baik. Mereka mahu perniagaan yang mampu berkembang. Mereka mahu infrastruktur yang berkualiti. Mereka mahu kos kehidupan yang terkawal.
Mereka mahu kerajaan yang cekap dan bersih. Dan mereka mahu masa depan yang lebih meyakinkan.
Dalam konteks masyarakat Melayu, tuntutan tersebut harus diterjemahkan kepada agenda yang lebih besar: pendidikan berkualiti, peningkatan produktiviti, pengumpulan aset, pemilikan perusahaan, penguasaan teknologi dan penciptaan kekayaan.
Kita tidak boleh selama-lamanya mengukur kemajuan melalui berapa banyak bantuan yang diterima.
Kita harus berani mengukur kemajuan melalui berapa banyak nilai yang mampu kita cipta, berapa banyak aset yang mampu kita miliki dan berapa banyak pekerjaan yang mampu kita sediakan kepada orang lain.
Masa untuk berhenti menuding jari
Perbandingan dengan masyarakat lain tidak seharusnya menghasilkan rasa rendah diri atau permusuhan.
Sebaliknya, ia harus melahirkan kesedaran bahawa kemajuan ekonomi bukan hasil daripada retorik.
Kemajuan lahir daripada ilmu, disiplin, budaya kerja, pengumpulan modal, pendidikan berkualiti, institusi yang berkesan, inovasi dan keupayaan untuk berfikir melangkaui satu generasi.
Masyarakat Melayu mempunyai segala asas untuk berjaya. Populasi yang besar ialah kekuatan pasaran.
Jumlah graduan yang semakin meningkat ialah modal insan.
Penglibatan dalam pelbagai sektor ekonomi ialah asas kepada mobiliti. Institusi pendidikan, kewangan dan keusahawanan pula menyediakan ekosistem yang boleh diperkukuh.
Yang diperlukan sekarang ialah perubahan daripada kuantiti kepada kualiti, daripada penerima kepada pencipta, daripada pendapatan kepada pemilikan, dan daripada perlindungan kepada daya saing.
Pada masa yang sama, kerajaan perlu memastikan dasar pembangunan tidak hanya menghasilkan pengagihan peluang, tetapi benar-benar melahirkan keupayaan ekonomi yang berkekalan.
Politik yang matang ialah politik yang membina
Semua parti politik — kerajaan mahupun pembangkang — mempunyai tanggungjawab untuk mengurangkan suhu politik apabila kepentingan negara memerlukannya.
Perbezaan pendapat akan sentiasa wujud.
Itulah demokrasi. Tetapi perbezaan pendapat tidak semestinya bermaksud permusuhan.
Kritikan tidak semestinya kebencian. Persaingan politik tidak semestinya menghalang kerjasama dalam agenda nasional.
Malaysia memerlukan politik yang berani menegur, tetapi juga berani mengakui kebenaran.
Kita memerlukan pembangkang yang kritikal tetapi konstruktif. Kita memerlukan kerajaan yang tegas tetapi bersedia menerima teguran.
Dan kita memerlukan masyarakat yang mampu menilai dasar berdasarkan bukti, bukan semata-mata berdasarkan sentimen politik.
Lebih daripada itu, masyarakat Melayu memerlukan wacana pembangunan yang lebih tinggi nilainya — wacana yang tidak sekadar membicarakan siapa yang bersalah, tetapi membincangkan bagaimana bangsa ini boleh meningkatkan pendidikan, produktiviti, pemilikan aset, keupayaan keusahawanan dan daya saing global.
Kerajaan boleh menyediakan dasar dan ekosistem.
Institusi boleh menyediakan peluang.
Namun, bangsa yang mahu maju mesti membina keupayaan untuk berdiri, bersaing dan mencipta kekayaan dengan kekuatan sendiri.
Kita harus berhenti bertanya siapa yang harus dipersalahkan. Kita perlu mula bertanya siapa yang bersedia membina.
Kerana kerajaan boleh bertukar, Perdana Menteri boleh bertukar dan parti politik boleh bertukar.
Tetapi masa depan Malaysia tetap milik kita semua. Dan masa depan itu tidak akan terbina melalui budaya menuding jari.
Ia hanya akan terbina melalui ilmu, disiplin, kestabilan, kerja keras, reformasi institusi, pendidikan berkualiti, penguasaan teknologi dan keberanian meletakkan pembangunan negara mengatasi kepentingan politik jangka pendek.
Negara tidak boleh menunggu. Generasi muda tidak boleh menunggu. Dan masa depan ekonomi Melayu juga tidak boleh terus menunggu.