‘Yang putuskan hubungan, dia…yang fitnah Bersatu pun dia…tiba-tiba cakap penyatuan ummah’

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz menempelak Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai “cakap tak serupa bikin” berhubung isu penyatuan ummah.

Dalam hantaran Facebook lewat malam tadi, Tun Faisal mendakwa Hadi Awang lah yang selama ini mencampuri urusan dalaman Bersatu, menipu, tidak amanah dan memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Namun secara tiba-tiba kata beliau, Presiden Pas menyebut pula tentang penyatuan ummah.

“Yang campur tangan dalam urusan dalaman Bersatu, dia. Yang menipu dan memfitnah Bersatu, dia. 

“Yang tidak amanah melaksanakan keputusan perbincangan, dia. Yang langgar keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), dia. 

“Yang memutuskan hubungan dengan Bersatu, dia. Yang kata ruang damai antara Bersatu dan Pas tertutup pun dia juga. Tiba-tiba dia bercakap tentang penyatuan ummah…,” sindirnya.

Teguran itu dibuat sebagai respon terhadap catatan Minda Presiden Pas yang dimuat naik di Facebook malam tadi bertajuk “Penyatuan Ummah Diwajibkan, Berpecah Diharamkan.

Dalam respon sama, Tun Faisal memetik 2 ayat dari Surah As-Saff yang menyebut tentang kemurkaan Allah terhadap orang-orang yang tidak melakukan apa yang mereka ucapkan.