Asyraf jangan putar belit, pendirian anti rasuah PH bukan pertikai kuasa Agong

Bendahari Angkatan Muda Harapan, Lim Chun Weng menegaskan bahawa pendirian Pakatan Harapan (PH) dalam mempertahankan agenda membanteras rasuah dan kedaulatan undang-undang tidak seharusnya diputar belit sebagai tindakan mempertikaikan kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Beliau menegaskan, kenyataan PH bahawa individu terlibat kes berprofil tinggi perlu menjalani sepenuhnya hukuman yang ditetapkan mahkamah sama sekali tidak mempertikaikan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya kata beliau, kenyataan itu dengan jelas menegaskan komitmen PH untuk menjunjung Perlembagaan dan menghormati institusi negara.

“Malah, PH secara jelas menyatakan dokongan terhadap titah Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya kes rasuah dan salah guna kuasa disiasat secara menyeluruh tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

“Justeru, cubaan menggambarkan pendirian PH bahawa mereka yang disabitkan atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa perlu menjalani hukuman sebagai tindakan mempertikaikan kuasa Agong adalah tidak tepat dan tersasar daripada kandungan sebenar kenyataan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Setiausaha Agung Umno, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa kenyataan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan seolah-olah mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Lim berkata, menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan menyatakan pendirian bahawa pesalah rasuah sewajarnya menjalani hukuman yang diputuskan mahkamah adalah dua perkara yang tidak bercanggah.

Mengulas perbandingan Asyraf dengan pengampunan penuh yang diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim berkata setiap kes mempunyai fakta, latar belakang, sifat kesalahan dan proses perundangan yang tersendiri.

“Jangan gunakan satu kes untuk menghalalkan atau mewajarkan kes yang lain. Apa yang perlu kita bincangkan ialah prinsip, fakta serta kesan sesuatu kes terhadap negara dan rakyat,” ujarnya.

Dalam konteks skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau perkata perkara tersebut bukan sekadar satu episod politik yang telah berlalu kerana kesan kewangannya masih ditanggung oleh kerajaan dan rakyat sehingga hari ini.

“Secara keseluruhan, tanggungan kewangan yang telah dan masih perlu ditanggung kerajaan akibat skandal 1MDB adalah sebanyak RM51.4 bilion.

“Pada masa yang sama, kerajaan terpaksa menanggung sekitar RM1.7 bilion setahun dalam bayaran faedah untuk melangsaikan hutang berkaitan 1MDB,” katanya.

Lim turut menyifatkan dakwaan bahawa pendirian PH merupakan satu bentuk “pengkhianatan kepada Perlembagaan dan negara” sebagai keterlaluan.

Beliau menggesa Asyraf supaya tidak menjadikan institusi Raja sebagai perisai dalam perdebatan politik mengenai rasuah atau menggambarkan setiap perbezaan pendirian sebagai tindakan mempertikaikan institusi tersebut.

“Kita boleh mempunyai pendirian politik yang berbeza. Tetapi janganlah setiap kali ada pihak mengambil pendirian yang tidak kita persetujui, ia terus dilabel sebagai mencabar Raja atau mengkhianati Perlembagaan.

“Menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong dan mempertahankan perjuangan membanteras rasuah bukanlah dua pilihan yang bertentangan. Kita boleh, dan mesti, mempertahankan kedua-duanya,” tambahnya.