Fahmi mahu platform e-dagang sekat penjual dadah
Penjualan barang terlarang termasuk dadah melalui platform e-dagang mula mencetuskan persoalan terhadap sejauh mana sistem kawal selia sedia ada mampu mengekang kegiatan itu, terutama apabila platform berkenaan masih belum tertakluk kepada pelesenan di Malaysia.
Bagi menangani kelompangan tersebut, Kementerian Komunikasi bersedia bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan bagi memperkukuh kawal selia ekosistem e-dagang negara.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keperluan itu semakin penting susulan kebimbangan terhadap kewujudan penjual yang menawarkan produk terlarang secara dalam talian, termasuk dadah seperti fentanil.
Beliau berkata, pendekatan sekadar membuang kata kunci daripada fungsi carian tidak memadai sekiranya akaun palsu masih boleh diwujudkan untuk menawarkan bahan terlarang.
“Memang ada kelompangan dalam sistem e-dagang. Pada masa ini, e-dagang belum lagi dilesenkan, jadi kita perlu meneliti perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Huawei WAIC Connect Malaysia 2026 Symposium hari ini.- BERNAMA