KKM utamakan kebajikan waris, kesinambungan khidmat kesihatan susulan tragedi helikopter Long Lellang

FOTO BERITA: Sidang Media Khas oleh YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan berhubung insiden Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara KKM. Turut hadir YBhg. Dato’ Sri Dr. Mahathar Abd. Wahab, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan Timbalan YBrs. Dr Ismuni Bohari di bilik Starhill 7, Aras 4, Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur. 9hb September 2026 (Rabu)

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi keutamaan kepada keselamatan petugas, kebajikan keluarga mangsa serta kesinambungan perkhidmatan kesihatan susulan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service, FDS) di Long Lellang, Sarawak, petang semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tragedi itu merupakan kehilangan besar kepada seluruh warga kementerian dan perhatian ketika ini tertumpu kepada waris petugas kesihatan serta krew yang terlibat.

Menurut beliau, pasukan Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) KKM sudah digerakkan bagi memberikan Psychological First Aid (PFA), sokongan emosi kepada keluarga mangsa serta bantuan pascatrauma kepada pasukan FDS.

“Dari sudut kebajikan, sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa akan disalurkan melalui Tabung Kelab Sukan dan Kebajikan Ibu Pejabat KKM (KESKIP).

“Selain itu, bantuan kewangan ex-gratia daripada kerajaan juga akan disalurkan kepada keluarga mangsa,” katanya pada sidang media khas berhubung insiden itu di Hotel JW Marriott di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, berdasarkan laporan diterima pagi ini, operasi membawa keluar mangsa sedang giat dilaksanakan pasukan penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), manakala Hospital Miri bersiap sedia menerima mangsa.

KKM, katanya, tidak akan mengumumkan nama mangsa sehingga proses pengecaman identiti diselesaikan secara rasmi dan mendapat pengesahan pihak berkuasa.

Menurut beliau, pasukan FDS berkenaan terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang pembantu pegawai perubatan, dua jururawat serta seorang juruterbang yang dalam perjalanan ke Long Lellang selepas selesai menjalankan tugasan di Long Banga dan Long Siut.

Beliau berkata, FDS merupakan perkhidmatan penting bagi memastikan masyarakat pedalaman mendapat akses kesihatan dan KKM akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) serta Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam melakukan penilaian risiko dan penambahbaikan.

“Buat masa ini, perkhidmatan kritikal khususnya keupayaan penerbangan pemindahan perubatan (MEDEVAC) ke fasiliti kesihatan berhampiran akan diberi keutamaan,” katanya.

Dzulkefly turut meminta media dan orang ramai menghormati sensitiviti keluarga mangsa dengan tidak menyebarkan spekulasi, nama atau gambar yang belum disahkan, selain mendoakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dipermudahkan.