Proklamasi jatuhkan Tuanku Muhriz tak sah!” Undang Sungei Ujong tampil bersuara
Pertikaian mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, memasuki fasa baharu apabila Undang Luak Sungei Ujong, YTM Dato’ Klana Petra Muhammad Faris Johari Meor Ngah, menegaskan proklamasi yang didakwa ditandatangani Menteri Besar Datuk Ismail Lasim untuk menurunkan baginda adalah tidak sah dan tidak boleh berkuat kuasa.
Dalam kenyataan media bertarikh 9 September, Muhammad Faris berkata keputusan itu selaras dengan pendirian Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang bersidang pada 31 Julai di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Menurutnya, sidang tersebut telah memuktamadkan bahawa pengisytiharan bertarikh 19 April 2026 berhubung penurunan Tuanku Muhriz tidak mempunyai kesan undang-undang dan tidak boleh digunakan kerana didakwa tidak memenuhi syarat Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Kenyataan itu muncul sehari selepas kumpulan Undang yang mendakwa masih mempunyai kuasa sebagai Pembesar Memerintah mendedahkan dokumen yang dikatakan mengandungi tandatangan Ismail bagi mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, Muhammad Faris mengambil pendirian berbeza dengan menegaskan bahawa proklamasi berkenaan tidak boleh mengubah kedudukan Tuanku Muhriz kerana keputusan DKU pada 31 Julai telah menentukan bahawa pengisytiharan 19 April tidak mempunyai kesan perundangan.
Lebih penting, beliau turut mempertikaikan kedudukan tiga daripada empat Undang yang sebelum ini dikatakan terlibat dalam usaha menurunkan Tuanku Muhriz.
“Ditegaskan, tiga daripada Undang Empat yang cuba menurunkan DYMM Tuanku Muhriz langsung tiada kuasa sebagai Pembesar Memerintah bagi negeri lantaran telah lucut pesaka mengikut adat luak masing-masing,” katanya.
Muhammad Faris turut menegaskan bahawa apa-apa perkara berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada masa ini hendaklah mendapat sabda daripada beliau selaku Imam Undang Yang Empat.
Pertikaian tersebut bukan lagi sekadar persoalan sama ada satu proklamasi telah ditandatangani atau tidak, sebaliknya menyentuh siapa yang mempunyai kuasa yang sah untuk membuat keputusan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Krisis itu berpunca daripada pengisytiharan 19 April 2026 yang dibuat oleh sekumpulan Undang yang mendakwa Tuanku Muhriz telah diturunkan dan kemudian mencadangkan Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai pengganti. Pengisytiharan itu bagaimanapun tidak diiktiraf kerajaan negeri dan kesahihannya terus dipertikaikan.
Perkembangan selepas itu menyaksikan Muhammad Faris dizahirkan sebagai Undang Luak Sungei Ujong baharu, manakala DKU pada 31 Julai mengiktiraf pelantikan berkenaan serta membuat beberapa keputusan berkaitan kedudukan pembesar adat yang terlibat dalam kemelut tersebut.
Pada 2 Ogos lalu pula, Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Tuanku Muhriz, satu perkembangan yang menunjukkan pentadbiran negeri ketika itu masih berjalan dengan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Kini, dengan pihak yang berbeza mengemukakan tafsiran masing-masing mengenai Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan kedudukan Undang Yang Empat, kemelut itu semakin jelas berubah menjadi pertikaian mengenai kesahan kuasa adat dan perlembagaan negeri.
Yang pasti, kenyataan terbaru Muhammad Faris menolak dakwaan bahawa proklamasi berkenaan boleh terus dikuatkuasakan dan sekali lagi menegaskan bahawa kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar masih dipertahankan oleh pihak yang menguasai struktur DKU semasa.
BACA JUGA Helikopter terhempas, kebajikan keluarga mangsa jadi keutamaan KKM