Sembang PN-BN ‘penyelamat kesatuan ummah’, netizen bidas anggap hanya kesatuan kuasa

Kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang dianggap Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebagai ‘penyelamat kesatuan ummah’ hanya mengundang reaksi sinis netizen.

Rata-rata mempersoalkan sama ada penyatuan kedua-dua parti bertunjangkan Melayu itu benar-benar berasaskan kepentingan umat atau sekadar percaturan kuasa politik.

Dalam hantaran di Facebook, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas dan Bachok itu menulis, “Penyelamat kesatuan ummah melalui PN BN yang semakin kukuh kini ialah menolak sebarang provokasi oleh musuh dalam dan luar.”

Namun, naratif mengenai “kesatuan ummah” itu dilihat tidak diterima bulat-bulat oleh sebahagian pengguna media sosial apabila meninggalkan ulasan berbaur sindiran malah kecaman di ruangan komen.

Orang ramai menyifatkan “kesatuan ummah” yang dilaungkan itu sekadar demi kepentingan politik dua blok yang mahu mengukuhkan kedudukan masing-masing demi pilihan raya yang semakin hampir.

Netizen turut membangkitkan persoalan mengenai sejarah hubungan Pas dan Umno, termasuk episod perseteruan kedua-dua parti sebelum ini.

“Geli pulak dengan nama kesatuan ummah. Bersatu bukan ummah. AMANAH bukan ummah. Lebih elok kata kesatuan parti Melayu assobiyah Pas-Umno,” kecam pengguna Facebook, Ahmad Zaid Hassan.

Pembahagian kerusi

Seorang netizen lain pula mengingatkan supaya urusan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diselesaikan terlebih dahulu sebelum gambaran mengenai hubungan PN-BN yang semakin kukuh dibawa lebih jauh kepada penyokong.

Malah, ada yang secara sinis bertanya sama ada Pas dan BN akan bersama-sama memasuki gelanggang pilihan raya di Melaka dengan kedua-dua pihak sanggup berkompromi mengenai kerusi dan kepentingan politik masing-masing.

“Dalil berubah mengikut kemahuan dan nafsu.

“Penyelamat? Banyak baca buku Pahlawan Naga Sakti ni.

“Dulu lawan Umno sikalang tidur satu bantal lo. Demi kuasa dan pangkat. Lepas ni boleh sakau lagi bossku.

“Penyelamat kesatuan sakau bukan ummah,” demikian antara sindiran warganet sebagai reaksi terhadap kenyataan Nik Abduh itu.

BACA JUGA Hampir tiga dekad Kelantan tarah hutan simpan kekal, SAM persoal siapa untung, siapa tanggung akibat