117 tangkapan direkod dalam 4 operasi besar-besaran kes bahan penderaan seksual kanak-kanak

Sejak Disember 2024 sehingga kini, sebanyak 117 tangkapan telah direkodkan menerusi empat operasi besar-besaran di seluruh negara. 

Operasi itu mensasarkan kegiatan memiliki dan mengedar bahan penderaan seksual kanak-kanak.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, serbuan telah dilakukan di 162 lokasi berbeza. 

Hasilnya, lebih 1.47 juta fail digital dirampas dengan lebih 200,000 fail telah disahkan mengandungi bahan penderaan seksual kanak-kanak.

Fahmi memaklumkan kerajaan sedang mempergiatkan pelbagai usaha bagi memastikan ruang siber negara lebih selamat.

Beliau turut menegaskan langkah yang lebih tersusum kini perlu disegerakan berikutan golongan kanak-kanak semakin terdedah kepada ancaman dalam talian.

“Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC), dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) menterjemahkan komitmen ini kepada tindakan dengan menetapkan tanggungjawab yang jelas bagi platform digital,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada Persidangan M360 ASEAN di ibu negara.

Tambah beliau, tanggungjawab tersebut merangkumi meletakkan keselamatan kanak-kanak sebagai keutamaan dalam pembinaan platform, melaksanakan pengesahan umur, serta menjalankan penilaian risiko secara awal. 

Ia juga melibatkan pemerkasaan tadbir urus kandungan dan penyediaan saluran pelaporan serta tindakan susulan yang lebih efektif.