Pasar PATUH diperluas di Selangor, pengguna kini boleh semak sendiri ketepatan timbangan

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memperkukuh perlindungan pengguna menerusi pelancaran Program Pasar PATUH 2026 Peringkat Negeri Selangor di Pasar Suntex Cheras, hari ini. (Gambar: KPDN Selangor)

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Dato’ Asa’ari berkata, program itu bertujuan meningkatkan pematuhan peniaga terhadap perundangan selain mewujudkan persekitaran perniagaan yang telus, adil, beretika dan mesra pengguna.

Konsep PATUH berteraskan lima prinsip iaitu penandaan harga yang jelas, alat timbang yang telah ditentusahkan, transaksi yang jelas dan telus, urus niaga yang jujur serta harga berpatutan tanpa unsur pencatutan.

Antara inisiatif diperkenalkan ialah Tanda Harga PATUH bagi memastikan harga barangan mudah dilihat, selain Kaunter Semak Timbang Layan Diri yang membolehkan pengguna memeriksa sendiri ketepatan berat barangan dibeli.

Selain Pasar Suntex Cheras, program itu turut dilaksanakan di enam lokasi lain iaitu Pasar Moden Seksyen 16, Pasar PJKITA Taman Megah, Pasar Awam Dengkil, Pasar Moden MPS Taman Sri Gombak, Pasar Awam Sabak Bernam dan Pasar Awam Kuala Kubu Bharu.

Dalam pada itu, KPDN Selangor telah menjalankan 89,456 pemeriksaan tahun ini dengan 1,044 kompaun bernilai keseluruhan RM283,000 direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. KPDN berharap Program Pasar PATUH dapat membudayakan pematuhan dalam kalangan peniaga, menggalakkan persaingan sihat serta melindungi pengguna daripada amalan perdagangan tidak beretika termasuk manipulasi timbangan, kegagalan mempamerkan harga dan pencatutan.