PH kemudi Negeri Sembilan stabil lapan tahun, BN-PN baru sebulan sudah huru-hara

Satu perkongsian bekas Exco Negeri Sembilan, Teo Kok Seong bersama bekas Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Min, menarik perhatian ketika kerajaan baharu BN-PN sedang berdepan kemelut yang tidak berkesudahan.

Menerusi gambar yang dikongsikan di Facebook, Teo dan Aminuddin kelihatan ceria dengan hidangan kopi di hadapan mereka ketika bertemu baru-baru ini.

Dalam catatan yang mengiringi gambar itu, Teo mengimbau perjalanan pentadbiran Negeri Sembilan ketika diterajui Pakatan Harapan (PH) sepanjang lapan tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau berkenaan mengenang tempoh berkenaan dengan menekankan soal kestabilan dan kerjasama.

“Terima kasih kepada beliau (Tok Min) serta semua rakan yang pernah bersama-sama memikul amanah, bekerjasama dan memastikan kestabilan Negeri Sembilan.

“Dengan kestabilan dan kerjasama inilah kita dapat memberi tumpuan kepada pembangunan negeri, menarik pelaburan, mencipta peluang pekerjaan serta melaksanakan pelbagai usaha untuk kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Tetap dihargai

Dalam masa sama, beliau berkata, politik dan kedudukan boleh berubah tetapi kerjasama dan persahabatan yang terjalin tetap dihargai.

“Terima kasih atas lapan tahun yang penuh dengan usaha dan pencapaian.

“Semoga Negeri Sembilan terus aman, stabil dan maju demi rakyat,” kata Teo lagi.

Perkongsian Teo itu muncul dalam suasana politik Negeri Sembilan yang dikuasai BN kini kalut dengan perselisihan yang menyentuh tiga lapisan serentak iaitu pentadbiran kerajaan negeri, institusi adat dan diraja, serta persoalan siapa sebenarnya memberi tekanan kepada Menteri Besar.

Situasi menjadi semakin serius selepas Menteri Besar Datuk Ismail Lasim mengakui beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Namun, Ismail berkata, tindakannya itu dilakukan tanpa rela hati dan secara paksaan sebelum membuat laporan polis.

Kerajaan negeri pula menyatakan dokumen itu tidak memenuhi tatacara Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Untuk rekod, PH kehilangan pentadbiran negeri pada PRN 1 Ogos selepas BN memenangi 18 kerusi manakala PN memperoleh tujuh kerusi sebelum kedua-duanya membentuk kerajaan baharu.

Aminuddin sendiri mengakui selepas keputusan PRN bahawa beliau bersyukur diberikan peluang mentadbir Negeri Sembilan selama lapan tahun sejak 2018.

BACA JUGA Pas untung sekutu tersungkur, dulu Bersatu kini Umno pula