Raja bukan perisai politik, PKR cabar Asyraf jawab isu Negeri Sembilan
Pertikaian mengenai pendirian Pakatan Harapan (PH) berhubung hukuman pesalah rasuah kini melebar kepada isu penghormatan terhadap institusi Raja apabila PKR menuduh Umno mengalihkan perbahasan mengenai rasuah dan integriti kepada persoalan kononnya berlaku penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad, berkata pendirian PH supaya individu yang disabitkan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa menjalani hukuman yang diputuskan mahkamah tidak bermaksud gabungan itu mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, kuasa pengampunan sememangnya diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan PH tidak pernah menafikannya.
“Jangan ubah persoalan tentang rasuah menjadi drama kononnya derhaka kepada Raja. Itu dua perkara yang berbeza.
“Institusi Raja mesti terus dihormati, manakala rasuah tetap wajib ditentang. Tidak ada kompromi antara kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan media.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang mendakwa kenyataan Majlis Setiausaha PH seolah-olah mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong. Asyraf menegaskan kuasa tersebut merupakan hak prerogatif Seri Paduka Baginda yang termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Asyraf turut mempersoalkan mengapa PH boleh menyokong pengampunan yang diterima Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 walaupun beliau ketika itu belum menjalani hukuman penuh, tetapi didakwa menggunakan piawaian berbeza terhadap pihak lain.
Namun, Saifuddin berkata kenyataan PH itu langsung tidak menyebut mana-mana parti politik atau individu, justeru beliau mempersoalkan asas Asyraf mengaitkannya secara langsung dengan PH dan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, menghormati kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong tidak bermakna parti politik kehilangan hak untuk menyatakan pendirian terhadap rasuah, salah guna kuasa, integriti dan hukuman yang telah diputuskan mahkamah.
Lebih tajam, Saifuddin kemudian membawa masuk isu kemelut institusi diraja di Negeri Sembilan.
Beliau mempersoalkan pendirian Umno yang mahu tampil sebagai pembela institusi Raja-Raja Melayu sedangkan kemelut di Negeri Sembilan sendiri menimbulkan persoalan berkaitan proses, kuasa dan kedudukan institusi diraja.
“Kalau Umno benar-benar mahu tampil sebagai benteng institusi Raja-Raja Melayu, jawab dahulu persoalan di Negeri Sembilan.
“Jangan hanya lantang bercakap soal Raja apabila ia menguntungkan naratif politik sendiri, tetapi membisu apabila timbul persoalan yang jauh lebih serius di depan mata,” katanya.
Saifuddin merujuk kepada dakwaan berkaitan proses penandatanganan dokumen mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, termasuk dakwaan wujud paksaan terhadap Menteri Besar Datuk Ismail Lasim, yang menjadi sebahagian daripada kemelut politik dan adat negeri itu.
Dalam perkembangan terbaru, Undang Luak Sungei Ujong, YTM Dato’ Klana Petra Muhammad Faris Johari Meor Ngah, pula menegaskan bahawa proklamasi yang didakwa ditandatangani Ismail pada 3 Ogos bagi menurunkan Tuanku Muhriz adalah tidak sah dan tidak boleh berkuat kuasa, sambil mendakwa pengisytiharan 19 April tidak mempunyai kesan undang-undang.
Saifuddin pada masa sama menegaskan bahawa institusi Raja tidak sepatutnya dijadikan “perisai” setiap kali timbul perbahasan mengenai integriti dan keyakinan rakyat.
Katanya, PH akan terus menjunjung Perlembagaan dalam soal institusi Raja, manakala dalam isu rasuah, parti itu akan mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang.
“PH tidak perlu diajar soal menghormati Raja. Yang rakyat mahu ialah konsistensi,” katanya.
BACA JUGA Reman tak disambung, Azeez dijangka bebas petang ini tapi kes penipuan hibah TH masih disiasat