“Kami bersedih…” – Zahid respon keputusan tangguh pengampunan Najib
Susulan keputusan Lembaga Pengampunan menangguhkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke mesyuarat akan datang, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tampil menyuarakan kesedihan parti itu.
Beliau berkata, parti itu amat berharap permohonan berkenaan dapat dipertimbangkan dan keputusan terbaik dapat dicapai terhadap bekas Presiden Umno mereka.
“Kami bersedih dengan keputusan itu. Walau bagaimanapun, kami tetap menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Agong.
“Kami merayu agar gunakanlah seluruh kebijaksanaan dan daulat Tuanku untuk membuat keputusan yang terbaik dan kami tetap mendokong Institusi Diraja.
“Kami tetap mendaulatkan Raja-Raja dan kami mengharapkan sesuatu yang terbaik diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan untuk dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang berlangsung hari ini yang turut mempertimbangkan permohonan pengampunan bagi banduan lain.