KPDN, PDRM bongkar kegiatan arak tiruan di Putrajaya, sita lebih RM206,000

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan disyaki pembuatan dan pengedaran arak tiruan dalam serbuan di sebuah premis di Presint 9, di sini. (Gambar: UKK KPDN)

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi hasil risikan dan perkongsian maklumat itu menemukan 1,262 botol minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai siap untuk diedarkan.

Pemeriksaan turut menemukan ribuan botol kosong, bancuhan disyaki arak, pati alkohol, pati karamel dan perisa selain dua mesin penutup botol, sebuah pam, label, bahan pembungkusan serta segulung pelekat menyerupai pelekat cukai kastam.

Sebuah kenderaan dan beberapa telefon bimbit turut disita, menjadikan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM206,630.

Menurut Azman, tiga individu iaitu seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta seorang wanita warga Vietnam ditahan bagi membantu siasatan.

Penemuan minuman keras siap dibotolkan bersama bahan mentah dan peralatan pembotolan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan menghasilkan serta membungkus minuman keras sebelum diedarkan ke pasaran.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rantaian pengedaran dan pihak lain yang terlibat, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019.

KPDN menegaskan pihaknya bersama agensi penguatkuasaan akan terus memperkukuh perkongsian maklumat dan tindakan bagi membanteras kegiatan penghasilan serta pengedaran barangan tiruan yang boleh mengelirukan pengguna.