RM51.4 billion: Rakyat belum lupa, rakyat masih membayarnya, kata PKR
Skandal 1MDB bukan sejarah lama yang boleh dianggap selesai begitu sahaja, kata Sivamalar Genapathy, Timbalan Setiausaha Agung PKR ketika Lembaga Pengampunan bermesyuarat pagi ini.
Katanya, rakyat Malaysia masih menanggung kesan kewangan daripada skandal itu sehingga hari ini.
Berdasarkan jawapan rasmi Kementerian Kewangan di Parlimen pada 9 Julai 2026, Kerajaan Persekutuan telah membayar RM42.5 bilion hutang dan komitmen berkaitan 1MDB setakat 31 Mei 2026.
“Namun, tanggungan itu masih belum berakhir,” katanya.
Kerajaan masih perlu menanggung RM5 bilion prinsipal dan RM3.9 bilion faedah Sukuk IMTN sehingga matang pada tahun 2039. Ini menjadikan keseluruhan tanggungan sekitar RM51.4 bilion.
“Persoalannya, siapa yang akhirnya menanggung kos RM51.4 bilion ini?
“Ia dibayar menggunakan sumber kewangan negara, yang pada akhirnya merupakan wang rakyat dan pembayar cukai.
“Yang lebih membimbangkan, komitmen kewangan ini masih akan terus ditanggung negara sehingga tahun 2039. Ini bermakna kesan kewangan 1MDB bukan sahaja dirasai hari ini, malah masih membebankan kewangan awam untuk tahun-tahun akan datang,” kata beliau dalam kenyataannya.
Jumlah sebesar itu tentunya mempunyai nilai besar kepada rakyat jika dapat disalurkan kepada keperluan negara seperti sekolah, hospital, pengangkutan awam, perumahan dan membantu keluarga yang berdepan tekanan kos sara hidup.
Sebaliknya, duit rakyat Malaysia dan pembayar cukai masih perlu digunakan untuk memenuhi hutang, prinsipal dan faedah berkaitan 1MDB sehingga tahun 2039.
“Sebab itu isu ini masih relevan.
“Kita belum lupa kerana komitmen kewangannya masih ditanggung negara. Kita belum lupa kerana kesannya masih dirasai melalui penggunaan sumber kewangan awam.
“Ini bukan soal dendam politik. Ini soal amanah, akauntabiliti dan tanggungjawab kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Bagi beliau, mereka yang diberikan kuasa mesti sentiasa ingat bahawa wang negara adalah wang rakyat. Sebarang penyalahgunaan amanah membawa kesan yang akhirnya perlu ditanggung oleh rakyat.
Rakyat tidak sepatutnya menjadi pihak yang menanggung akibat daripada kegagalan mengurus amanah dan kewangan negara, tegasnya.
BACA JUGA Dulu doktor dikontrakkan, kini 18,564 ditawarkan tetap, siapa sebenarnya sedang selesaikan maasalah?