Sheikh Umar Ingatkan Tuan Ibrahim, Pas menang banyak kerusi hasil gelombang reformasi juga
Ahli Dewan Negara, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali menempelak kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan perjuangan Reformasi lebih 20 tahun sebagai ‘membuang masa dan tenaga’.
Sheikh Umar berkata, kenyataan itu mencerminkan apa yang disifatkannya sebagai kemunafikan politik Pas kerana parti itu sendiri pernah mendapat manfaat besar daripada gelombang Reformasi.
Beliau mengingatkan semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 ketika gelombang Reformasi memuncak, Pas memenangi banyak kawasan yang selama puluhan tahun dikuasai Barisan Nasional (BN).
Malah, Tuan Ibrahim sendiri memenangi kerusi Jengka dengan majoriti 319 undi pada PRU berkenaan.
“Bahkan kerjasama Pas dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat yang tercetus rentetan Reformasi juga telah mengubah landskap pembangkang Malaysia.
“Pas akhirnya membentuk kerajaan dan memegang jawatan Menteri Besar serta Exco di beberapa negeri,” kata beliau.
Beliau menegaskan, tuntutan Reformasi bukan sekadar usaha menukar kerajaan, sebaliknya merangkumi perjuangan rakyat, kebebasan media, keadilan sistem pilihan raya, kemandirian institusi, pembanterasan rasuah dan salah guna kuasa serta penolakan terhadap undang-undang yang menekan rakyat.
“ISA telah dimansuhkan. Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik akhirnya dilaksanakan. Ini bukan perkara kecil. Jutaan rakyat sekarang ini mempunyai hak mengundi serta mempunyai tempat dalam proses demokrasi,” katanya.
Sheikh Umar turut menyifatkan pindaan Perlembagaan berkaitan larangan lompat parti yang diluluskan Parlimen pada 2022 sebagai sebahagian daripada semangat Reformasi bagi memastikan mandat rakyat tidak diperdagangkan sesuka hati oleh wakil yang dipilih.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berkata, walaupun agenda Reformasi masih belum selesai dan masih banyak perkara perlu diperbaiki, keadaan itu tidak bermakna perjuangan tersebut sia-sia.
“‘Belum selesai’ tidak bermakna ‘sia-sia’. Perubahan di mana-mana negara sekalipun pasti memakan masa. Rom tidak dibina dalam sehari,” katanya.
Sheikh Umar mengingatkan Tuan Ibrahim bahawa Reformasi merupakan sebahagian daripada sejarah rakyat Malaysia dan turut menjadi sebahagian daripada sejarah Pas, selain membawa manfaat kepada rakyat dan negara.