Sheikh Umar tanya Asyraf Wajdi siapa serang Umno? Siapa salahguna kuasa?

Ahli Dewan Negara merangkap Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali mempersoalkan kenyataan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung dakwaan berlaku ‘serangan terhadap Umno’.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau memulangkan persoalan kepada Asyraf Wajdi dengan bertanya siapa sebenarnya yang dimaksudkan sebagai pihak yang ‘serang Umno’, ‘salah guna kuasa’ dan ‘khianati rakan’.

“Saya tak pasti siapa yang Dr Asyraf Wajdi Dusuki maksudkan.

“Tetapi dua hari lepas, bekas Pengerusi Tabung Haji dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Azeez Abdul Rahim telah didakwa di mahkamah susulan siasatan berkaitan RCI Tabung Haji,” katanya.

Abdul Azeez didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Tabung Haji untuk mendapatkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan imbuhan RM690,000 setahun, kemudahan sebuah BMW 7 Series serta pemandu tetap.

Abdul Azeez turut berdepan dakwaan mempengaruhi Lembaga Tabung Haji untuk meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta dalam syarikat berkenaan.

“Jika (tindakan terhadap Azeez) itu yang Asyraf maksudkan sebagai ‘salah guna kuasa’ dan ‘khianati rakan’.. saya fikir beliau silap

“Jangan terkeliru antara ‘khianati rakan’ dengan tindakan ‘penguatkuasaan undang-undang’,” tegasnya.

Beliau kemudian merujuk kepada beberapa kenyataan berkaitan siasatan RCI Tabung Haji.

Pada 30 Julai 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa siasatan susulan RCI Tabung Haji perlu dijalankan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.

Pada 8 Ogos 2026, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan supaya siasatan berkaitan RCI Tabung Haji dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’ dan tiada pihak terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah.

Sementara itu, pada 10 September 2026, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa parti itu tiada halangan untuk memberikan kerjasama kepada SPRM sekiranya terdapat bukti kukuh untuk pendakwaan terhadap pemimpin kanannya, dengan siasatan terlebih dahulu dilakukan secara adil dan telus.

Sehubungan itu, Sheikh Umar mempersoalkan sama ada perkara berkenaan yang menyebabkan Asyraf Wajdi marah dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Adakah hal ini yang Asyraf marah sangat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU)? Yang beliau katakan sebagai ‘serangan terhadap Umno’?

“Yang beliau kata ‘bobrok’, ‘mengaibkan’ dan ‘memalukan’ UMNO?” soalnya.