Umno mahu GST kembali, sebelum ini Pas sudah kata GST haram, jadi macamana dengan kerjasama?
Ketika hubungan Umno dan Pas semakin hangat diperkatakan, satu lagi persoalan besar muncul — adakah kedua-dua parti itu benar-benar mempunyai dasar ekonomi yang sehaluan terutama dalam isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)?
Ini kerana, ulama Pas sudah berulang kali menegaskan GST haram kerana ia cara pungutan cukai yang zalim.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang sangat mahukan Kerjasama dengan Pas secara terbuka mencadangkan supaya GST diperkenalkan semula bagi menggantikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Akmal berhujah GST mempunyai asas kutipan yang lebih luas dan pernah menghasilkan kutipan RM44.3 bilion pada 2017. Beliau turut mencadangkan penjenamaan semula cukai itu sekiranya nama GST menjadi masalah politik.
Cadangan tersebut menarik perhatian kerana Umno kini sedang mengusahakan hubungan lebih rapat dengan Pas atas nama penyatuan politik Melayu-Islam.
Tetapi bagaimana pula pendirian Pas terhadap GST?

Pada 11 April 2015, Pas memimpin Himpunan Membantah GST di Padang Merbok dengan alasan ia zalim dan haram. (gambar atas)
Setiausaha Dewan Ulama PAS, Datuk Nik Zawawi Salleh dalam ucapannya berkata, pelaksanaan GST adalah bertentangan dengan prinsip Islam kerana ia membebankan rakyat.
“Cukai tersebut ibarat merompak rakyat tetapi secara sah di sisi undang-undang. Walaupun Islam membenarkan kutipan cukai tetapi di negara ini ia adalah haram untuk mengenakan cukai kepada rakyat kerana negara ini dilanda masalah ketirisan dan rasuah.
“Kami akan terus berjuang menentang sistem kejam ini. Kami berikrar untuk memperluaskan kempen ini di seluruh negara,” katanya.
Terkini, Pemuda Pas Pahang memberi amaran terhadap kemungkinan unsur GST diperkenalkan melalui pendekatan baharu.
Mereka turut membangkitkan persoalan mengenai kesannya kepada harga barang dan kuasa beli rakyat.
Ini bermakna, ketika pemimpin Umno mahu menghidupkan kembali GST, terdapat suara dalam Pas yang membantah dan masih berhati-hati terhadap sistem percukaian tersebut.
Perbezaan itu mungkin kelihatan kecil sekarang. Tetapi jika Umno dan Pas benar-benar mahu membentuk kerjasama politik yang lebih besar, mereka akhirnya perlu menjelaskan kepada rakyat apakah dasar ekonomi bersama yang mahu ditawarkan.
Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula setakat ini tidak membuat keputusan untuk mengembalikan GST secara menyeluruh.
Anwar sebelum ini menyatakan kerajaan boleh mengkaji unsur tertentu daripada GST dan SST bagi membentuk sistem percukaian lebih progresif, tetapi tidak mahu sistem cukai yang memberikan tekanan tidak seimbang kepada golongan berpendapatan rendah.
Justeru isu GST boleh menjadi ujian awal kepada keserasian Umno-Pas. Mudah untuk kedua-duanya bercakap mengenai penyatuan Melayu dan Islam, tetapi apabila masuk soal cukai yang menyentuh poket jutaan rakyat, pendirian bersama perlu lebih jelas.
Jadi persoalannya mudah: Umno sudah berkata mahu GST kembali. Pas setuju — atau Pas akan menentangnya? Bagaimana dengan kerjasama ini, atau ia hanya untuk kepentingan menang pilihan raya sahaja?.
BACA JUGA Mesyuarat Lembaga Pengampunan: PH tegas tolak rasuah, hormati kuasa Agong tentukan pengampunan Najib