‘Guru jumpa Putin, murid jumpa pemimpin Rusila’, gaya diplomasi PMX cetus usikan netizen
Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di New Delhi menarik perhatian orang ramai.
Bukan sahaja kemesraan kedua-dua pemimpin itu diperkatakan, malah penampilan Anwar lengkap berbaju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok turut menuai pujian dan dalam masa sama usikan politik di media sosial.
Menerusi satu hantaran di Threads, beberapa keping gambar memperlihatkan Anwar bersalaman dan berbual bersama Putin dalam pertemuan dua hala di luar sidang kemuncak BRICS.

Seorang pengguna, ceaaaasyia, menyifatkan perkara itu antara aspek yang wajar dipuji kerana Anwar tidak meninggalkan pakaian tradisi Melayu dan jati diri kebangsaan negara ini ketika berada di pentas antarabangsa.
Nada sama dikongsi anuaryazitt yang melihat pemakaian baju Melayu itu bukan sekadar soal pakaian, sebaliknya membawa mesej bahawa Malaysia tampil dengan identiti sendiri dalam hubungan diplomatik.
“Baju Melayu bukan sekadar pakaian, tapi satu kenyataan kita datang dengan identiti sendiri, tanpa perlu berlebihan,” tulisnya sambil menyifatkan pendekatan itu sebagai “simple, classy, confident”.
Jeritan politik
Malah, terdapat warga maya yang menyindir bahawa perjuangan identiti Melayu tidak semestinya perlu diterjemahkan melalui slogan atau jeritan politik.
“Tak perlu menjerit-jerit kononnya memperjuangkan Melayu, sebaliknya pakai pakaian Melayu dengan santai ke pentas dunia,” kata saifulnizambob.
Sementara itu, pengguna, tuan_nasir_jamaluddin berseloroh, “Guru jumpa pemimpin Rusia, anak murid mampu jumpa pemimpin Rusila.”
Sindiran tersebut susulan tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memerli Anwar sebagai “guru”.
Anwar pula kemudiannya apabila tiba di India membalas supaya “anak didik” belajar bagaimana Diplomasi MADANI diterjemahkan.
Ketika ‘guru’ jelas pemimpin Umno maksudkan Anwar, ‘murid’ atau ‘anak didik’ pula merujuk pada pemimpin Umno yang pada masa ini berbaik dengan Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pas yang dipimpin Tan Sri Abdul Hadi Awang pula memang dikaitkan dengan Rusila kerana Kampung Rusila di Marang, Terengganu, merupakan tempat asal Ahli Parlimen Marang selama lebih 30 tahun itu.
BACA JUGA Selepas cabar keluarkan dari kerajaan, Zahid kata Umno kekal bersama hingga akhir penggal