Kalau tak selesa, kenapa tunggu kena halau? Zahid cabar PH singkir Umno dari Kerajaan Perpaduan
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar supaya pihak yang tidak mahu Umno berada dalam Kerajaan Perpaduan segera menyingkirkan parti itu.
Namun, persoalannya, jika Umno sendiri sudah tidak selesa, mengapa perlu menunggu orang lain menghalaunya?
Ketika sebahagian pemimpin Umno semakin lantang mendesak Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dipercepatkan, Zahid pada masa sama menegaskan usaha mengeluarkan parti itu dari Kerajaan Perpaduan perlu dibuat secara rasmi melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
“Ada berani ke? Kalau berani buatlah cepat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026, hari ini.
Kenyataan itu secara tidak langsung menunjukkan Umno tidak bercadang meninggalkan Kerajaan Perpaduan atas kehendaknya sendiri, sebaliknya mencabar pihak lain supaya mengambil langkah menyingkirkannya.
Zahid berkata asas pembentukan Kerajaan Perpaduan pada peringkat awal membabitkan 82 Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan 30 Ahli Parlimen BN, menjadikan keseluruhannya 112 wakil rakyat.
Beliau turut menyebut tiga Ahli Parlimen PKR iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Wong Chen yang menurutnya sudah keluar, sebelum mengingatkan bahawa kerjasama membentuk kerajaan dibuat atas “amanah kenegaraan” serta mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong.
Namun, nada mencabar Timbalan Perdana Menteri itu hadir ketika Umno sendiri semakin kuat bercakap mengenai keperluan mengadakan PRU16 lebih awal.
Situasi itu mewujudkan ironi tersendiri apabila Umno mahu pilihan raya dipercepatkan, tetapi pada masa sama tidak menunjukkan tanda mahu meninggalkan kerajaan lebih awal.
Malah, cabaran supaya Umno disingkirkan boleh dibaca sebagai pengakuan bahawa parti itu masih mahu kekal dalam pentadbiran sedia ada selagi kedudukannya tidak ditamatkan melalui proses di Parlimen.
BACA JUGA Baru tiba New Delhi, Anwar terus jumpa Putin jam 11 malam; penerbangan terus, bebas visa jadi agenda