Kenduri Rakyat MADANI Bandar Tun Razak dekati rakyat, perkukuh perpaduan sosial

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Program Kenduri Rakyat Madani 2026 Bandar Tun Razak disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail Ahli Parlimen Bandar Tun Razak di perkarangan Blok B dan C Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. 12hb September 2026 (Sabtu)

Program itu dirasmikan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam usaha mendekati masyarakat setempat selain memperkukuh hubungan antara pemimpin, agensi kerajaan dan komuniti.

Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) menerusi JAPEN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP) itu turut menjadi platform membawa maklumat serta pelbagai perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Pelbagai aktiviti kemasyarakatan diadakan termasuk Rewang Sekampung, Kenduri Rakyat MADANI, Jualan RAHMAH, pameran dan kaunter perkhidmatan kerajaan serta saringan kesihatan percuma.

Penduduk turut berpeluang mengikuti taklimat isu semasa selain persembahan kebudayaan dan patriotik yang diadakan bersempena Sambutan Hari Malaysia.

Dalam program sama, Wan Azizah turut merasmikan stesen Flexi EV Charging bernilai RM72,000 di Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan.

Projek berkenaan melibatkan pemasangan empat unit pengecas kenderaan elektrik menerusi kerjasama Leading Innovative Technologies & Systems Sdn Bhd, Pro Parking Sdn Bhd dan Perbadanan Pengurusan BTS MC 1.

Penyediaan kemudahan itu dilihat dapat memperluas akses masyarakat setempat kepada pengecasan kenderaan elektrik selaras dengan perkembangan teknologi dan perubahan keperluan semasa.

Penganjuran Kenduri Rakyat MADANI itu juga selari dengan tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, dengan aktiviti gotong-royong, penyampaian perkhidmatan kerajaan dan pengisian patriotik menjadi antara wadah memperkukuh semangat kebersamaan serta keharmonian masyarakat.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Erwin Khairul Ahmad; Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dan Pengarah Jabatan Penerangan WPKLP, Normaizatulakmal Tujad.