RM1 sehari sahaja sewa, Hannah Yeoh mahu peluang berniaga sampai kepada golongan miskin bandar

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Fiesta Pasar Malam Kuala Lumpur 2026 disempurnakan oleh YB Puan Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). Turut hadir YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud Datuk Bandar Kuala Lumpur di Tempat Letak Kereta, Stadium Bola Sepak KL, Cheras, Kuala Lumpur. 12hb September 2026 (Sabtu)

Golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil yang tersenarai dalam eKasih akan diberi keutamaan untuk mendapatkan tapak perniagaan pasar malam di ibu negara sebagai sebahagian usaha kerajaan membasmi kemiskinan bandar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata langkah itu selaras dengan nasihat Perdana Menteri supaya usaha membantu golongan miskin bandar diperkasakan, termasuk memastikan mereka mendapat akses kepada kemudahan pembiayaan kerajaan.

Menurutnya, kajian yang dikemukakan kepada pihaknya mendapati ramai peniaga kecil masih tidak mengetahui kewujudan pelbagai kemudahan kewangan yang disediakan agensi kerajaan.

“Kalau mereka tidak tahu mengenai perkara ini, mereka mungkin merasakan tiada bantuan daripada kerajaan sedangkan fasiliti itu wujud.

“Jadi kita akan terus perkasakan program seperti ini untuk membantu golongan miskin di kawasan bandar,” katanya pada sidang media sempena Fiesta Pasar Malam Kuala Lumpur 2026, hari ini.

Hannah turut menasihatkan pemohon, khususnya yang tersenarai dalam eKasih, supaya berurusan terus dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tidak menggunakan khidmat ejen bagi mengelakkan penipuan.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud berkata kira-kira 3,000 lot perniagaan masih tersedia di 65 lokasi pasar malam sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, DBKL turut memberi keutamaan kepada golongan miskin tegar, manakala kadar sewa tapak perniagaan ditawarkan serendah RM1 sehari.

Menurut beliau, lebih 90 peniaga menyertai fiesta berkenaan, termasuk 12 peniaga asnaf yang pertama kali diberi peluang berniaga.

Program itu turut menghimpunkan 12 institusi pembiayaan bagi memberi penerangan secara terus kepada peniaga mengenai skim kewangan yang tersedia, termasuk Agrobank, CIMB, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, SME Bank, TEKUN, MARA, Amanah Ikhtiar Malaysia dan AKPK.

Fadlun berkata pendekatan berkenaan penting kerana kebanyakan peniaga pasar malam sebelum ini bergantung kepada simpanan sendiri untuk menjalankan perniagaan, sekali gus menyebabkan mereka mudah terjejas apabila modal semakin berkurangan.
