Tok Mat uji keikhlasan Pas, Annuar Musa balas: “Apa formula kau?”

Cadangan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Pas membuktikan keikhlasan dalam usaha menjalin kerjasama politik dengan Umno mendapat respons sinis daripada Ketua Penerangan Perikatan Nasional(PN), Tan Sri Annuar Musa.

Annuar menerusi satu hantaran di media sosial mempersoalkan formula yang mahu digunakan Umno sekiranya kerjasama dengan Pas benar-benar mahu direalisasikan, sambil mengingatkan parti itu supaya melihat semula formula yang pernah digunakan sebelum ini.

“…aku nak tengok apa formula kau nak pakai di…..? Elok juga kamu lihat apa formula yang kamu dah pakai. Kita ok je,” katanya dalam hantaran tersebut.

Kenyataan itu dipercayai sebagai respons kepada cabaran Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat yang mahu menguji sejauh mana keikhlasan Pas dalam bercakap mengenai penyatuan politik Melayu-Islam. 

Dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2026, Mohamad mencadangkan supaya selepas pilihan raya negeri (PRN) Melaka, salah sebuah negeri di bawah pentadbiran Pas dalam kelompok SG4 mengadakan pilihan raya negeri.

Empat negeri berkenaan ialah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Menurut Mohamad, langkah itu boleh menjadi ujian sebenar terhadap formula kerjasama antara Umno dan Pas, khususnya dalam menentukan pembahagian kerusi dan bentuk kerjasama yang mampu mengelakkan pertembungan antara kedua-dua parti.

“Kita cuba pula sejauh mana keikhlasan kawan kita. Kita minta salah satu daripada negeri SG4 buat pilihan raya. Kau buat pilihan raya, aku nak tengok apa formula kau pakai,” katanya. Mohamad turut memberi contoh Terengganu sebagai negeri yang boleh dijadikan medan untuk menguji formula tersebut.

Tok Mat turut mengingatkan bahawa Umno dan Pas pernah mempunyai pengalaman bekerjasama sebelum ini. Menurut beliau, kerjasama Umno-Pas di Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan bahawa pembahagian peranan serta kepentingan politik antara kedua-dua parti boleh diurus apabila wujud kesepakatan.

Beliau malah menggunakan analogi daripada filem Allahyarham P Ramlee mengenai pembahagian hasil dengan menyebut formula “satu untuk kau, satu untuk aku”, sambil menegaskan bahawa Umno mahu melihat sama ada Pas benar-benar bersedia berkongsi risiko jika bercakap mengenai penyatuan umat Melayu.

Bagi Mohamad, kerjasama tersebut tidak boleh hanya menguntungkan satu pihak. Umno juga tidak mahu berada dalam keadaan menanggung risiko politik sedangkan pihak lain mendapat manfaat daripada kerjasama berkenaan. Sebab itu beliau mahu keikhlasan dibuktikan melalui formula yang jelas sebelum sebarang kerjasama lebih besar dibentuk untuk menghadapi PRU16.

Namun, respons Annuar memperlihatkan bahawa PN tidak semestinya melihat cabaran tersebut dari sudut yang sama. 

Soalan “apa formula kau?” boleh ditafsirkan sebagai mengembalikan persoalan kepada Umno: jika Umno benar-benar mahu bekerjasama dengan Pas, apakah bentuk formula yang ditawarkan dan sejauh mana Umno sendiri bersedia berkongsi ruang politik dengan parti tersebut?

Persoalan itu menjadi lebih penting kerana Mohamad sendiri sebelum ini menegaskan bahawa Umno tidak mahu bergantung kepada parti lain untuk kelangsungan politiknya. Beliau mahu Umno berdiri atas kekuatan sendiri, tetapi pada masa sama menyatakan pintu kerjasama atas nama penyatuan Melayu-Islam masih terbuka sekiranya pihak yang datang mempunyai niat yang jelas dan ikhlas.

Perbahasan mengenai formula ini akhirnya membawa kepada persoalan yang lebih besar daripada sekadar pilihan raya di SG4. Jika Umno dan Pas benar-benar mahu membina kerjasama, mereka perlu menyelesaikan isu pembahagian kerusi, kepimpinan dan hala tuju bersama tanpa mengulangi pengalaman Muafakat Nasional yang akhirnya tidak bertahan. 

Pengalaman lalu juga menjadikan kedua-dua pihak lebih berhati-hati dalam menentukan siapa yang perlu berkorban dan siapa yang memperoleh manfaat.

Namun di sebalik nada bersahaja itu terdapat satu persoalan yang cukup tajam kepada Umno: jika Pas sedang diuji keikhlasannya, apakah formula yang Umno sendiri mahu tawarkan untuk membuktikan bahawa kerjasama itu benar-benar dua hala?

Jika Umno-Pas mahu bergerak lebih jauh, soalan tersebut mungkin lebih sukar daripada sekadar menentukan negeri mana yang perlu mengadakan pilihan raya.

BACA JUGA “Saya silap, Zahid betul” – Tun Faisal akui dakwaan Pas pernah khianati Umno