Zahid cuma nak bagitahu Pas beliau bakal PM11 – Ketua Cabang PKR Titiwangsa

Ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 disifatkan lebih banyak membawa sindiran dan isyarat politik berbanding gagasan dasar serta visi yang jelas untuk negara.

Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Shah Syed Osman berkata, secara keseluruhannya beliau tidak melihat kualiti pidato Zahid berada pada tahap yang boleh dianggap sebagai pemimpin yang sedang menunggu untuk menjadi Perdana Menteri ke-11.

Menurutnya, mesej paling jelas daripada ucapan itu ialah Zahid mahu memberi isyarat kepada Pas, selaku sekutu baharu Umno, bahawa parti itu akan kembali menerajui kerajaan dan beliau sendiri berhasrat menduduki kerusi Perdana Menteri.

“Secara jujurnya saya boleh katakan kualiti perbahasan dan pidato Zahid amatlah jauh jika nak dibanding dengan PMX. Jangankan kata PMX, kualiti perbahasan Zahid masih tidak sampai paras menyamai kualiti beberapa presiden Umno terdahulu seperti DS Najib Razak, Tun Dr Mahathir dan Paklah. Ucapan mereka jauh lebih berisi dengan isi dan visi yang jelas,” katanya.

Syed Shah berkata, ucapan Zahid kali ini lebih banyak diselitkan sindiran, gurauan dan isyarat politik kepada pihak tertentu, sedangkan seorang pemimpin yang bercita-cita memimpin negara sepatutnya menggunakan pentas perhimpunan parti untuk mengemukakan dasar, gagasan dan hala tuju yang lebih besar.

Beliau turut mempersoalkan keputusan Zahid menggunakan gurauan terhadap beberapa pemimpin Umno, termasuk Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, kerana tindakan sedemikian menurutnya boleh menjejaskan kewibawaan seorang presiden parti walaupun individu yang menjadi bahan gurauan itu mungkin tidak mengambil hati.

“Pada saya sebagai pemimpin nombor satu dalam Umno, beliau wajar memuji gerak kerja anak buahnya. Boleh bergurau tetapi berpadalah. Walaupun mungkin individu yang dituju tidak kisah dengan gurauan, tetapi pemerhati luar menganggap gurauan itu sebagai sesuatu yang tidak perlu,” katanya.

Syed Shah juga mengkritik sindiran Zahid terhadap pemberian skuter Lambretta oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dengan menyifatkan gurauan tersebut sedikit sebanyak boleh mencalarkan nilai pemberian peribadi yang dibuat oleh pemimpin berkenaan.

Menurutnya, perkara sama berlaku apabila Zahid menyentuh kumpulan yang digelarnya “ceplos”, kerana seorang pemimpin tertinggi parti tidak sepatutnya memberikan ruang besar kepada serangan atau sindiran kumpulan media sosial dalam ucapan dasarnya.

“Paling lawak bila beliau mengusik kumpulan ‘ceplos’. Tahap pemimpin nombor satu dalam parti berbicara soal serangan pasukan siber yang digelar ‘ceplos’ menunjukkan Zahid sebenarnya berjiwa kecil dan sangat terkesan dengan serangan dan sindiran itu. Beliau tidak seharusnya memetik langsung perihal ‘ceplos’ kerana itu secara langsung menjejaskan kualiti perbahasannya dan menjadikan ucapan itu bertaraf rendah,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Shah berkata, beliau turut tidak melihat ciri-ciri pemimpin yang benar-benar bersedia untuk menerajui negara seperti yang pernah disebut oleh Khairy Jamaluddin ketika menggelar Zahid sebagai “bakal Perdana Menteri”.

“Apa yang harus beliau bicarakan adalah soal dasar negara, visi, idea dan matlamat. Tetapi tanggapan saya meleset kerana saya tak jumpa perkara-perkara ini dalam ucapan Zahid. Saya juga tak nampak langsung kualiti ‘bakal Perdana Menteri’ seperti yang disebutkan oleh KJ. Terlalu jauh sangat Zahid nak mencecah garis itu.”

Syed Shah turut menyifatkan sebutan Zahid mengenai Anwar sebagai “guru” dalam ucapannya sebagai sesuatu yang mempunyai makna tersendiri, termasuk kemungkinan ia menunjukkan pengiktirafan terhadap pengalaman dan kredibiliti Perdana Menteri, walaupun pada masa sama Zahid memberi isyarat bahawa beliau mahu bergerak keluar daripada bayangan tersebut.

Katanya, seorang murid yang memberi isyarat mahu melawan gurunya bukan gambaran yang baik dalam budaya Melayu, manakala penggunaan istilah “guru” itu sendiri boleh ditafsirkan bahawa Zahid masih belum mampu menyamai tahap kewibawaan Anwar sebagai pemimpin negara.

Syed Shah turut membayangkan keadaan politik Umno mungkin berubah sekiranya Datuk Seri Najib Razak dibebaskan dan kembali aktif dalam politik, kerana rekod serta kualiti kepimpinan bekas Perdana Menteri itu berpotensi menjadi tanda aras baharu terhadap kepimpinan Zahid.

“Kalaulah Datuk Seri Najib ditakdirkan bebas, tentunya segala kualiti yang ditunjukkan Najib sebelum ini akan dijadikan tanda aras perbezaan terhadap kualiti yang Zahid miliki. Serba sedikit pengaruh Zahid akan berkurang dengan sendirinya dan Najib akan kembali kuat dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Pada akhirnya, Syed Shah menegaskan kritikannya bukan bertujuan mencalarkan imej Zahid, sebaliknya beliau menghormati kedudukan Presiden Umno itu dan berharap Zahid memperbaiki mutu pidato serta kandungan ucapannya jika benar-benar mempunyai hasrat untuk menjadi Perdana Menteri ke-11.

BACA JUGA Bila Anwar duduk semeja dengan pemimpin dunia, Gaza isu yang tak boleh didiamkan