RENCANA | Kembali ke mahkamah Petaling Jaya

ZUNAR

Hari ini (14 September 2026), saya ke Mahkamah Petaling Jaya kerana ada urusan. Mahkamah ini mengimbau peristiwa tahun 1998, kerana di mahkamah inilah gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim (sekarang Perdana Menteri) dengan mata lebam berjaya ditangkap. 

Walaupun pihak polis ketika itu cuba menahan jurugambar daripada mendekati Anwar. 

Kenapa gambar ini cuba dihalang? Kerana beberapa hari sebelum itu, Anwar ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap di Bukit Aman. 

Antara sebab beliau ditangkap ialah kerana enggan menggunakan duit rakyat untuk bailout syarikat perkapalan anak Mahathir yang kerugian berbilion ringgit. Ketika dilokap, Anwar dikurung dalam sel tahanan bernombor 6 dengan tangan bergari dan mata tertutup.

 Berikut adalah kenyataan Anwar (yang saya petik daripada dokumen mahkamah). Anwar, 

“Ada orang memasuki sel saya. Tiba-tiba saya merasa sebuah tumbukan yang sangat kuat kena di dahi kiri saya, tepat di atas mata. 

“Saya terjatuh dalam kesakitan ke belakang di atas pangkin simen. Saya berkata “Allah” dan “adoh”. 

“Kemudian tangan saya dipegang dan diangkat lagi supaya berdiri. Kemudian saya merasa sebuah lagi tumbukan kuat di kepala kanan saya dan selepas itu sebuah lagi tumbukan di kepala kiri saya. Kemudian ditambah dengan satu “karate chop” di leher kiri saya. Saya berkata “Adoh, Allah, jangan pukul saya.” Kemudian diikuti satu lagi tumbukan di bawah lengan saya.”

“Kemudian tamparan kuat di kiri dan kanan. Yang kiri dekat dengan telinga dan yang kanan di muka berdekatan telinga. Saya terjatuh ke belakang ke atas bangku simen dengan mata tertutup dan tangan bergari. Saya masih dalam keadaan sedar. Kejadian tersebut berlaku beberapa minit. 

“Saya tak dapat mengingat berapa kali tumbukan, karate dan tamparan, tetapi yang kuat sekurang-kurangnya tujuh kali. 

“Saya merasa down, groggy dan lemah. Saya nampak titisan darah terjatuh di atas lantai simen. Saya merasa darah mengalir dari hidung dan bibir saya.”

Selepas itu Anwar dibiar terbaring pengsan tanpa rawatan sehingga beberapa hari. 

Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad (Tun) apabila ditanya wartawan menyatakan, “Anwar pukul diri sendiri!”. Ketika itu peristiwa tersebut belum diketahui sehinggalah Anwar dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya.

Kawalan ketat polis dilakukan supaya gambar Anwar tidak berjaya dirakamkan dan peristiwa pukulan tersebut dapat ditutup daripada pengetahuan umum. 

Tetapi dengan takdir Allah, seorang jurufoto dari Asiaweek berjaya merakam detik penting ini.