Tuanku Muhriz masih YDP Besar? DKU kata proklamasi 19 April ‘cacat sejak awal’
Kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kekal, demikian ditegaskan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan susulan pertikaian berhubung proklamasi penurunan takhta baginda.
Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin berkata, proklamasi bertarikh 19 April 2026 itu tidak sah di sisi Perlembagaan kerana tiga daripada empat individu yang menandatanganinya didakwa tidak memegang jawatan Undang menurut adat Luak masing-masing pada tarikh berkenaan.
Beliau berkata, Perkara 10(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 menetapkan bahawa Undang hanya boleh menyeru Yang di-Pertuan Besar berundur atau melepaskan jawatan selepas siasatan penuh dan lengkap dilaksanakan.
Menurutnya, syarat berkenaan adalah mandatori, namun tiada siasatan sedemikian pernah dijalankan, tiada perkara dibawa ke hadapan Dewan dan Tuanku Muhriz juga tidak pernah diberikan notis atau peluang untuk didengar.
“Justeru, proklamasi bertarikh 19 April 2026 itu adalah cacat sejak awal,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Khas DKU yang diadakan di Seri Menanti, Kuala Pilah, semalam.
Raja Norazli berkata, pada 20 April 2026, Menteri Besar yang ketika itu memegang jawatan enggan menandatangani proklamasi berkenaan di bawah Perkara 10(2) UUTKNS 1959 kerana syarat ditetapkan peruntukan itu didakwa tidak dipenuhi, selain salah seorang penandatangan bukan seorang Undang.
“Dengan keengganan itu, fungsi Menteri Besar di bawah Perkara 10(2) UUTKNS 1959 telah pun dilaksanakan dan dengan itu proklamasi itu luput dan terbatal,” katanya.
Beliau berkata, pertukaran Menteri Besar tidak boleh digunakan untuk menghidupkan semula fungsi yang menurut DKU telah pun dilaksanakan, walaupun Menteri Besar baharu kemudiannya menandatangani proklamasi sama pada 3 Ogos lalu.
“Seorang Menteri Besar yang baharu tidak boleh melaksanakan semula suatu fungsi yang telah pun dilaksanakan.
“Jika tidak, setiap pertukaran Menteri Besar akan menghidupkan semula proklamasi yang sama dan perkara itu tidak akan berkesudahan,” katanya.
Berhubung kenyataan media Undang pada 5 September dan sidang media kumpulan berkenaan tiga hari kemudian, Raja Norazli berkata kedua-duanya tidak memberi kesan terhadap kedudukan proklamasi tersebut kerana hanya bersandarkan proklamasi 19 April yang didakwa cacat dan telah luput.
Katanya, surat cara bertarikh 3 Ogos 2026 juga tidak menambah apa-apa kepada keabsahan proklamasi berkenaan, selain DKU menegaskan tiada proses sah pernah menyebabkan Tuanku Muhriz terhenti daripada memegang jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Baginda kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertua Dewan (DKU).
“Dewan tidak mengiktiraf apa-apa kekosongan dan tidak mengiktiraf mana-mana orang lain sebagai memegang jawatan itu,” katanya.
Raja Norazli berkata, pada masa ini Undang Luak Sungei Ujong disandang Dato’ Klana Petra Muhammad Faris Johari, Undang Luak Rembau oleh Dato’ Sedia Raja Haji Hassan Ab Hamid dan Undang Luak Johol oleh Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammed Abdullah.
Beliau berkata, jawatan Undang Luak Jelebu dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong pula adalah kosong, sebelum menegaskan bahawa tindakan enam individu menandatangani dokumen bertarikh 5 September lalu dianggap “derhaka” di sisi adat dan undang-undang.
Pendirian DKU itu sekali gus mengekalkan pertikaian mengenai kesahihan proklamasi 19 April, dengan dewan berkenaan menegaskan bahawa selagi tiada proses sah menyebabkan jawatan itu kosong, Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
BACA JUGA Penyatuan Melayu jangan jadi slogan politik, AMANAH ungkit skandal Tabung Haji