Walau bukan ahli penuh, Malaysia kekal aktif dalam BRICS -Anwar
Walaupun permohonan keahlian penuh dalam BRICS kini dikenakan moratorium, Malaysia tidak melihat perkembangan itu sebagai penghalang untuk terus memainkan peranan aktif dalam blok ekonomi berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia masih boleh menyertai pelbagai aktiviti dan mekanisme kerja BRICS, meskipun status negara ketika ini kekal sebagai negara rakan.
Malaysia menjadi Negara Rakan BRICS secara rasmi pada 1 Januari 2025 dan menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi baru-baru ini dalam kapasiti tersebut.
Menurut Anwar, penerimaan awal Malaysia sebagai sebahagian daripada kerangka BRICS merupakan satu pengiktirafan penting, terutama kerana ia mendapat sokongan pemimpin utama dunia ketika proses tersebut dibincangkan.
“Keahlian penuh adalah satu usaha sukarela. Mereka berbesar hati untuk menerima Malaysia pada peringkat awal dan seperti yang anda tahu, ia merupakan sesi persidangan yang diadakan di Moscow, dicadangkan oleh Putin serta disokong oleh Xi Jinping, Modi, dan Ali dari Ethiopia.
“Sungguh luar biasa apabila Malaysia sebagai sebuah ekonomi pesat membangun menerima sokongan sedemikian rupa,” katanya dalam sidang media penutup lawatan kerja empat hari ke India.
Anwar berkata, meskipun moratorium dikenakan terhadap keahlian penuh buat masa ini, mekanisme kerja yang sedang dibangunkan BRICS tidak menyekat Malaysia daripada menyertai aktiviti dan inisiatif blok berkenaan.
“Namun buat masa ini, wujud moratorium dari segi keahlian penuh. Tetapi berdasarkan apa yang saya lihat melalui pembangunan mekanisme kerja dalam BRICS, ia nampaknya tidak menyekat kita daripada menyertai kesemua aktiviti. Dan kita telah pun berbuat demikian,” katanya.
BRICS bukan pakatan lawan Barat
Mengulas lebih lanjut mengenai matlamat Malaysia menyertai BRICS, Anwar menegaskan langkah itu bukan bertujuan mewujudkan perseteruan dengan blok kuasa lain, sebaliknya memberi ruang kepada negara-negara Selatan Global membina kekuatan ekonomi sendiri.
Katanya, sistem antarabangsa sedia ada perlu diperbaharui kerana sebahagiannya dianggap tidak lagi mencerminkan keperluan serta kepentingan negara membangun.
“Pertamanya penting, sidang BRICS ini ialah satu membina satu kekuatan baru, dan kita boleh katakan tidak untuk melawan tetapi membina kekuatan sendiri,” katanya.
Beliau berkata Malaysia mahu melihat keberanian baharu dalam kalangan negara Selatan Global untuk memperjuangkan sistem perdagangan dan kewangan antarabangsa yang lebih adil, termasuk dalam isu berkaitan institusi seperti Bretton Woods, WTO dan IMF.
Namun pada masa sama, Anwar menegaskan pendekatan tersebut tidak bermaksud Malaysia mahu mengorbankan hubungan dengan Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah atau Australia.
“BRICS sepertimana ASEAN, bukan bermaksud untuk menentang orang lain. Sebab itu kerjasama kita dengan EU, dengan Amerika Syarikat, dengan Australia, semua berterusan. Tidak menghalang,” katanya.
Dalam isu perdagangan, Anwar turut menyeru negara anggota BRICS supaya lebih berani menggunakan mata wang tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada instrumen kewangan luar.
Beliau berkata langkah itu tidak semestinya dilaksanakan secara menyeluruh pada peringkat awal, sebaliknya boleh dimulakan secara berperingkat dalam transaksi perdagangan antara negara.
“Malaysia, dengan Indonesia, Thailand, negara China, itu telah menampak ke depan, dan India kini dah mula bersetuju dengan beberapa persetujuan dari segi menggunakan dana atau kewangan tempatan dalam isu perdagangan,” katanya.
Pendekatan itu turut selari dengan usaha Malaysia memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara BRICS tanpa memutuskan hubungan dengan pasaran tradisional Barat. Dalam lawatan ke India, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Narendra Modi bagi membincangkan kerjasama semikonduktor, rantaian bekalan, pembangunan bakat dan pelaburan dua hala.
Maka, walaupun pintu keahlian penuh BRICS buat sementara waktu ‘ditutup’, Malaysia nampaknya tidak memilih untuk menunggu di luar sebaliknya terus menggunakan ruang yang ada untuk membina pengaruh, perdagangan dan kerjasama ekonomi.
BACA JUGA RENCANA | Pas dijemput, Hamzah, PN dipinggir : Adakah Umno sedang pecah dan perintah?