Anwar pulang dari Maldives dengan agenda besar, Petronas bakal teroka kerjasama tenaga
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan lawatan rasmi ke Republik Maldives dengan beberapa kesepakatan baharu, termasuk cadangan meneroka potensi kerjasama tenaga membabitkan Petronas.
Anwar berkata, beliau akan berbincang dengan Petronas mengenai cadangan tersebut susulan perbincangan yang berlangsung sepanjang lawatan berkenaan.
Menurutnya, meskipun kunjungan itu singkat, perbincangan antara Malaysia dan Maldives berlangsung panjang, terbuka serta bermakna.
Antara hasil utama ialah persetujuan mempercepat mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives yang akan dihoskan di Kuala Lumpur sebelum akhir tahun ini.

Katanya, mekanisme itu penting bagi menyelesaikan perkara berbangkit selain menetapkan tindakan konkrit untuk memperluas kerjasama antara kedua-dua negara.
Malaysia turut bersetuju secara prinsip untuk menyokong permohonan Maldives bagi kemudahan kewangan berjumlah AS$100 juta, dengan Bank Negara Malaysia dan Maldives Monetary Authority akan memperincikan mekanisme serta proses pelaksanaannya.
Kekangan birokrasi
Dalam rangka lawatan sama, dua memorandum persefahaman dalam bidang pertahanan dan hal ehwal Islam turut dipertukarkan.
Anwar berkata, kerajaan juga akan meneliti beberapa kekangan birokrasi yang dihadapi pelajar Maldives dan keluarga mereka, selain meneroka kerjasama dalam bidang kesihatan mental serta kebajikan golongan kurang upaya.
Malaysia dan Maldives turut senada dalam mendesak pelaksanaan berkesan komitmen antarabangsa bagi menangani perubahan iklim, termasuk penyaluran pembiayaan yang telah dijanjikan.
Kedua-dua negara juga kekal dengan pendirian memperjuangkan kebebasan dan keadilan untuk rakyat Palestin serta menolak penjajahan dan kezaliman di Gaza.
Anwar menyifatkan lawatan itu sebagai bukti bahawa Malaysia dan Maldives mampu berdiri dengan suara tegas dalam mempertahankan kebenaran, menjunjung tadbir urus yang baik serta menolak keangkuhan kuasa yang menindas negara dan rakyat lain.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu, kerajaan serta rakyat negara itu atas layanan mesra, persahabatan dan kepercayaan yang diberikan.
Anwar berkata, beliau pulang ke tanah air dengan harapan segala kesepakatan yang dicapai dapat diterjemahkan kepada tindakan demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
Beliau seterusnya memaklumkan akan bertemu rakyat Malaysia di Sarawak sempena sambutan Hari Malaysia.
BACA JUGA Kalau nak keluar, keluarlah bermaruah – Mahfuz pesan Umno jangan goncang Kerajaan Perpaduan