DBKL perkemas Permit KEJA, pastikan ruang makan luar tidak ganggu pejalan kaki, OKU

FOTO BERITA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkemas Garis Panduan Permit Meletakkan Kerusi dan Meja di Luar Premis Restoran dan Kedai Makan (KEJA) bagi memastikan penggunaan ruang luar premis lebih teratur, selamat serta tidak menjejaskan kepentingan awam. (Gambar: Unit Media DBKL)

Permit KEJA yang dilaksanakan sejak 2017 membolehkan pengusaha restoran dan kedai makan mendapatkan kebenaran DBKL untuk meletakkan kerusi serta meja di kawasan luar premis yang diluluskan. Menurut DBKL, jumlah permit yang diluluskan meningkat daripada 124 pada 2023 kepada 160 pada 2024 dan 247 pada 2025, merangkumi permohonan baharu, pembaharuan dan rayuan.

Bagi 2026, prosedur permohonan dipermudah dengan kelulusan permohonan baharu dilaksanakan secara desentralisasi menerusi 11 Pejabat Cawangan DBKL di seluruh Kuala Lumpur, tertakluk kepada kesesuaian ruang. Sejak 3 Ogos hingga 13 September lalu, sebanyak 27 Permit KEJA diluluskan dengan kutipan hasil berjumlah RM39,123.13. Setiap permohonan baharu diberikan kelulusan awal selama enam bulan bagi membolehkan tahap pematuhan dinilai sebelum pembaharuan dipertimbangkan.

Antara syarat utama ditetapkan ialah laluan pejalan kaki mesti sentiasa bebas daripada halangan, termasuk memastikan pergerakan dan keselesaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak terjejas. Kerusi dan meja pula hanya dibenarkan di kawasan yang diluluskan dan tidak boleh ditempatkan di petak letak kereta sedia ada, manakala kadar permit ditetapkan RM30 sebulan bagi setiap set kerusi dan meja.

DBKL turut akan memperkenalkan stiker permit bagi memudahkan pengesanan serta tindakan penguatkuasaan dan menegaskan penggunaan ruang awam tanpa kelulusan atau kegagalan mematuhi syarat boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang berkuat kuasa.

Penambahbaikan itu, menurut DBKL, bertujuan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih tersusun dan kondusif tanpa mengatasi hak serta keselamatan pengguna ruang awam, khususnya pejalan kaki dan golongan OKU.