MMKN Negeri Sembilan kata proklamasi turun takhta Tuanku Mukhriz sah, Jalaluddin umum buat umrah
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan menyatakan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah disempurnakan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Serentak itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias sebentar tadi pula mengumumkan beliau akan menunaikan ibadah umrah
Dalam kenyataan media hari ini, MMKN berkata, keputusan itu dicapai secara kolektif dalam mesyuarat yang berlangsung semalam dan dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Menurut kenyataan itu, proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz bertarikh 19 April lalu telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang menurut MMKN adalah sah dan berkuat kuasa.
MMKN turut menyatakan pemilihan dan penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar merupakan prerogatif Undang Yang Empat.
Selain itu, MMKN memaklumkan bahawa tandatangan Ismail pada 3 Ogos lalu telah menjadikan proklamasi berkenaan sempurna menurut Perkara 10(2) UUTKNS 1959.
Pada masa sama, MMKN menyatakan proklamasi pemilihan Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar bertarikh 19 April turut ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang dianggap sah dan berkuat kuasa.
Susulan itu, mesyuarat berkenaan mengumumkan pendiriannya bahawa Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta, manakala Tuanku Nadzaruddin dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Pentadbiran kerajaan negeri juga diarahkan mengambil langkah serta-merta bagi melaksanakan pengumuman tersebut selaras dengan ketetapan Undang Yang Empat, menurut kenyataan itu.
Paksaan
Pendirian terbaru MMKN muncul selepas Ismail pada 9 September mendakwa beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi itu dalam keadaan paksaan dan ketika itu kerajaan negeri menyatakan dokumen berkenaan tidak sah serta tidak boleh dikuatkuasakan.
Dokumen yang mengandungi tandatangan Ismail sebelum itu turut didedahkan kepada media oleh pihak Undang Yang Empat.
Pertikaian berhubung institusi beraja Negeri Sembilan telah berlarutan sejak April dengan kewujudan tuntutan bertindih terhadap takhta serta tindakan mahkamah yang sebelum ini mengekalkan status quo.
Perkembangan terbaru MMKN ini dilihat satu lagi perubahan penting dalam pertikaian berkenaan.
Sementara itu, Jalaluddin menerusi Threads mengumumkan beliau akan menunaikan ibadah umrah.
“Saya akan menunaikan ibadah Umrah. Mohon doa daripada seluruh warga Negeri Sembilan agar perjalanan dipermudahkan, selamat pergi dan selamat kembali.
“Insya-Allah, doakan agar ibadah ini diterima dan diberkati. Saya juga akan menitipkan doa buat kita semua di Tanah Suci,” katanya hari ini.
Hantaran tersebut bagaimanapun tidak menyentuh keputusan terbaru MMKN mengenai proklamasi berkenaan.
Sebelum ini, Jalaluddin mendapat sorotan media selepas mengetuai langkah 14 ADUN Umno-BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Aminuddin Harun, pada 27 April lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkenaan pernah disebut sebagai calon Menteri Besar malah gambarnya muncul dalam sepanduk dengan slogan “BN Menang, Muhriz Turun”.
Namun, Jalaluddin menafikan dia terlibat dengan sepanduk itu dan menyifatkannya sebagai usaha pihak tertentu mencetuskan perpecahan.
BACA JUGA ‘Laut boleh memisahkan kita, tapi bukan cita-cita’, ini mesej Anwar sempena Hari Malaysia