Selepas Kedutaan AS nafi dakwaan, Hadi sudah beri keterangan kepada polis

Tan Sri Abdul Hadi Awang telah memberikan keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan mengenai dakwaannya bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan kerjasama untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.

Setiausaha Politik Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, keterangan Presiden Pas itu diberikan kepada pihak polis di Kuala Lumpur beberapa hari lalu.

“Tan Sri Tuan Guru (Abdul Hadi) sudah beri keterangan kepada pihak polis beberapa hari lalu di Kuala Lumpur.

“Difahamkan perkara berkenaan masih dalam proses siasatan, beberapa saksi turut dipanggil.

“Selanjutnya, Tuan Guru serahkan kepada pihak polis dan tidak mahu mengulas lanjut bagi menghormati proses siasatan,” katanya, dipetik BH.

Sebelum ini, Hadi ketika ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-72 pada 5 September lalu berkata, beberapa pemimpin parti itu pernah dijemput mengadakan pertemuan dengan Kedutaan AS ketika Presiden Barack Obama melawat Malaysia pada 2014.

Dalam ucapan itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa pihak asing berkenaan menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan yang ketika itu diterajui BN.

Bagaimanapun, Kedutaan AS di Kuala Lumpur menafikan dakwaan Presiden Pas itu dengan menegaskan bahawa AS tidak pernah cuba menentukan kepimpinan politik Malaysia dan menyifatkan dakwaan sebaliknya sebagai palsu.

Susulan kontroversi itu, PDRM membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar sebelum ini memaklumkan polis menerima 12 laporan berhubung isu berkenaan dan telah merakam keterangan 12 saksi ketika perkembangan siasatan diumumkan pada 7 September.

Ketika itu, polis turut memaklumkan keterangan Hadi akan diambil bagi melengkapkan siasatan, manakala Mohd Syahir menyatakan pemimpin Pas berkenaan bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.